PENTAS Zepp Kuala Lumpur bakal digegarkan ledakan muzik dan gelombang emosi apabila Drama Band bergabung dengan Asfan Shah bersama kumpulannya, Manusia menerusi Konsert Malam Drama Manusia pada 15 Januari 2027.
Dianjurkan Permaico Concerto, persembahan yang dijadualkan bermula pukul 8.30 malam itu menjanjikan pengalaman muzik luar biasa apabila dua band berganding tenaga mencorakkan persembahan sarat imaginasi serta kepelbagaian bunyi.
Vokalis Asfan Shah dan Manusia, Asfan Shah berkata, konsep fantasi yang menjadi tunjang konsert berkenaan dirangka bagi membawa penonton menyelami dunia muzik yang lebih luas, melangkaui pengalaman menyaksikan persembahan biasa.
“Konsep konsert ini berteraskan fantasi. Kami mahu memberikan pengalaman baharu kepada penonton, bukan sekadar datang untuk melihat penyanyi membuat persembahan di atas pentas.
“Kami mahu penonton merasai pelbagai emosi sepanjang persembahan, daripada lagu rancak hinggalah lagu sedih dan karya yang membangkitkan perasaan bercampur baur,” katanya
Berlangsung lebih dua jam, konsert itu bakal menyajikan sekurang-kurangnya 25 lagu, merangkumi karya popular Asfan serta lagu ciptaannya yang pernah dipersembahkan penyanyi lain.
Lebih menarik, seleksi berkenaan bakal diberi nafas baharu menerusi susunan muzik berbeza bagi mencetuskan kelainan, sekali gus menyuntik kejutan buat peminat yang sudah sebati dengan karya asal.
Asfan berkata, kumpulannya yang ditubuhkan pada akhir tahun lalu turut mempertaruhkan single berjudul Dusta sebagai antara karya yang memperkenalkan identiti muzik Manusia kepada pendengar.
Manusia diperkuatkan barisan pemuzik berpengalaman iaitu Adam Karman dan Arash daripada Treehill, Zack (New Boyz) selaku pemain bes serta One (Sofazr) sebagai pemain dram.

DUA kumpulan, Drama Band dan Manusia berjanji akan mencorakkan persembahan sarat imaginasi dengan kepelbagaian bunyi bagi membawa penonton menyelami dunia muzik serba unik dalam Konsert Drama dan Manusia di Zepp KL pada 15 Januari tahun depan.
Pernah bersaing
Sementara itu, vokalis Drama Band, Aepul Roza pula menyifatkan konsert berkenaan sebagai peluang istimewa untuk menyatukan dua nama yang pernah bersaing di pentas pertandingan muzik, namun kini berganding bahu demi sebuah persembahan berskala besar.
“Saya dan Asfan sudah pernah bertanding di atas pentas sama sebanyak dua kali. Ada ketika dia menang dan ada waktu saya bawa pulang hadiah.
“Jadi, peluang untuk kami bergabung dalam sebuah konsert berskala mega seperti ini memang sesuatu yang saya hargai.
“Ucapan terima kasih juga kepada pihak penganjur, khususnya Datuk Norshida atas kepercayaan yang diberikan,” ujarnya.
Bukan sekadar menghimpunkan dua kumpulan bawah satu bumbung, kolaborasi berkenaan bakal menampilkan dua pemain dram, tujuh pemain gitar dan dua vokalis.
Akui Aepul, sudah pasti aksi mereka nanti menjanjikan adunan bunyi lebih padat serta susunan persembahan yang berbeza daripada penampilan solo mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permaico Concerto, Datuk Norshida Mohamed Ali berkata, beliau yakin gabungan kekuatan kedua-dua band terbabit mampu mencipta sebuah persembahan istimewa yang meninggalkan kesan penonton.
“Idea menyatukan mereka dicetuskan penganjur dengan persamaan mereka dalam menghasilkan lagu yang kerap menghiasi runut bunyi drama juga antara faktor pengukuh konsep konsert berkenaan.
“Menerusi gabungan ini, peminat bukan sahaja berpeluang menikmati rangkaian dendangan yang dekat di hati, malah menyaksikan setiap karya diterjemahkan melalui pendekatan muzik baharu dalam persembahan sarat warna dan emosi,” ujarnya.
Bagi melengkapkan pengalaman peminat, barangan cenderamata eksklusif turut dirancang untuk ditawarkan pada hari konsert.
Tiket Konsert Malam Drama Manusia kini boleh didapati menerusi platform Ticket2u di laman web Ticket2u.com.my. – HIBGLAM

