SARAT dengan elemen misteri, jenayah dan percintaan. Itu yang digabungkan dalam siri Viu Original berjudul Bayangan Dendam.
Bukan sekadar drama hiburan, naskhah terbitan Global Film Station itu mempertaruhkan plot penuh teka-teki yang menuntut penonton untuk membongkar kes kematian mengejut.
Pengarahnya, Helmi Yusof menyifatkan penonton masa kini lebih gemar meneliti jalan cerita yang menuntut mereka untuk terus berfikir dan merungkai teka-teki.
“Penonton sekarang bijak, dia suka orang berfikir dan genre sebegini saya rasa ramai yang suka.
“Kemudian untuk saya sebagai pengarah, itu cabaran kepada saya. Saya ambil perkara tersebut dan saya suka.
Saya rasa orang akan mula menyampah dan anggap semua orang suspek. Itu menariknya Bayangan Dendam,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut mengenai naskhah arahannya, Helmi menjelaskan karya tersebut bukan sekadar menghiburkan, malah sarat dengan pengajaran hidup serta mesej ketuhanan yang disampaikan secara bersahaja.
“Bagi saya sebagai pengkarya ataupun artis kami ada cara untuk menyampaikan mesej masing-masing.
Jadi, nak sampaikan mesej itu dengan cara dianggap dakwah, benda baik, saya selit dan yang tak baik tidak perlu. Itu cara persepsi penonton untuk terima.
“Kalau kalian tengok benda itu secara baik, baiklah jadinya. Kalau tengok cara salah, salahlah,” katanya lagi.

NASKHAH Bayangan Dendam yang menampilkan barisan pelakon seperti Sophia Albarakbah, Nadhir Nasar dan Erysha Emyra kini sedang ditayangkan dalam platform penstriman Viu. – IQBAL ROSLI
Tambahnya, pemilihan tema yang mengetengahkan isu pengkhianatan dan persahabatan amat bertepatan dengan situasi masyarakat hari ini, khususnya dalam memaparkan realiti kes jenayah yang semakin meruncing.
“Secara keseluruhan tentang cerita ini, ada mesej yang kuat mengenai pengkhianatan dan persahabatan. Kalau dalam kehidupan, setiap orang boleh kaitkan dengan diri sendiri.
Kalau cakap fasal pembunuhan wanita banyak berlaku sekarang, ini waktu yang tepat untuk kami keluarkan cerita ini.
“Mesej yang kami nak sampaikan, akan disampaikan secara terus buat penonton,” ujarnya.
Malah, dia turut menitipkan pesan agar penonton sentiasa meletakkan batasan dalam setiap emosi agar tidak hanyut dalam percintaan toksik.
“Kalau tanya saya secara peribadi, dalam cerita Bayangan Dendam ini apa-apa pun kita kena ada sekatan dalam hidup.
Kita tak boleh terlampau cintakan atau menyayangi seseorang, jadi kita ada batas.
“Dalam Bayangan Dendam nanti, kalau kalian tengok sampai penghujung, pengajaran dan mesej dia sangat kuat,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, pemilihan pelakon ditetapkan produksi Viu selain menjelaskan bahawa ini adalah strategi penceritaan bagi memperkenalkan karakter secara berperingkat sebelum mencetuskan plot sebenar.
“Dari segi pemilihan pelakon dipilih pasukan produksi Viu sendiri dan mungkin dalam episod satu dan dua, kita masih lagi memperkenalkan karakter serta baru nak cetuskan plot.
Tapi apa yang saya boleh janjikan, episod tiga ke atas kalian akan tengok bagaimana mereka akan gel bersama.
“Tidak saya tak mengakui ada kaku tapi mungkin itu cara pembawakan karakter untuk berkembang.
“Saya tak pasti kekakuan, tidak nampak benda di situ. Cuma, saya nampak mereka bawa karakter mengikut cerita yang memerlukan begitu,” tutupnya. – HIBGLAM

