AKTRES terkenal Hollywood, Gwyneth Paltrow dikecam hebat netizen seluruh dunia selepas muncul dalam kempen iklan projek perumahan mewah di bandar Herzliya, Israel.
Kempen tersebut mencetuskan kontroversi di media sosial kerana dilancarkan ketika konflik Israel-Palestin belum berakhir dan mengorbankan ratusan ribu nyawa tidak berdosa.
Dalam iklan terbabit, pelakon filem Iron Man itu digambarkan menikmati gaya hidup mewah di sebuah pangsapuri sebelum meminta pemandunya membawanya ke ’51 Park’.
Pada penghujung video, lokasi projek tersebut didedahkan berada di Herzliya, Israel, bukannya di New York seperti yang disangka pada awalnya.
Netizen menyifatkan bekas isteri vokalis Coldplay, Chris Martin itu sebagai seorang yang gilakan wang sehingga sanggup mempromosikan projek di penempatan haram pada saat ribuan rakyat Palestin bermandi darah dan kehilangan tempat tinggal.
“Dia baru sahaja memusnahkan kerjayanya. Saya gembira akhirnya orang sebegini menunjukkan siapa diri mereka yang sebenar.
“Siapa sahaja yang mencari pangsapuri untuk didiami di tengah bandar yang sedang berperang?. Ternyata wang mendahului nilai kemanusiaan,” komen netizen.
Penglibatan Gwyneth dalam iklan tersebut turut mendapat perhatian selebriti Ruby Rose yang kesal kerana pernah berkongsi rokok dengan aktres itu.
“Saya menyesal kerana pernah memberinya rokok di acara Met Gala,” tulis Ruby.
Sebelum ini aktres veteran iaitu Helen Mirren turut dikecam netizen selepas dia dikatakan menjadi punca aktor Tom Brady dipecat daripada produksi gara-gara sokongan aktor itu terhadap Palestin. – HIBGLAM
