PERNAH menerima lamaran menjadi isteri kedua, penyanyi dan penyampai radio Dina Nadzir mengakui tidak pernah memandang negatif terhadap poligami, namun menegaskan kejujuran menjadi syarat utama.
Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 41, berkata dia terbuka soal jodoh meskipun bukan pilihan pertama, asalkan hubungan dibina secara telus tanpa berselindung.
“Mungkin ini sedikit kontroversi, tetapi sejujurnya bagi saya, jodoh datang lambat tidak mengapa. Jodoh nombor dua, tiga atau empat pun tidak mengapa.
“Saya memang tidak pernah ada masalah dengan poligami sejak kecil lagi. Itu yang buat ayah saya risau. Tetapi semua itu perlu telus.
Pernah ada lelaki mahu jadikan saya isteri kedua dan ketiga. Saya cakap, ‘baik, tetapi awak perlu kenalkan saya dengan isteri pertama awak.’ Namun dia tidak mahu. Dia kata kahwin dahulu baru kenalkan. Saya terus tolak,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambah pelantun lagu Malu Tapi Mahu itu, dia tidak sanggup terlibat dalam hubungan berselindung kerana percaya kejujuran asas paling penting dalam membina kepercayaan.
“Perkara ini mesti telus. Saya sendiri jenis telus. Kalau orang tanya, saya jawab terus.
“Saya tidak pandai menipu. Kalau hendak menipu, kena rancang siap-siap, tulis skrip pun mungkin,” ujarnya.
Paling penting kata Dina, dia sangat menjaga batas pergaulan terutama apabila melibatkan lelaki berstatus suami orang.
“Saya tidak kisah, tetapi saya tidak akan menyondol. Kalau dia suami orang, saya tahu jaga batas.
“Saya bekerja dalam persekitaran ramai lelaki beristeri, jadi saya faham had pergaulan.
“Kalau saya berkawan dengan seorang lelaki, saya juga perlu berkawan dengan isterinya. Itu prinsip saya,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap pendirian terbuka Dina berhubung isu poligami. – HIBGLAM
