DUNIA perfileman Korea Selatan selalunya sinonim dengan istilah kurus, jelita, segak dan kacak seakan-akan menjadi hukum wajib untuk kekal relevan sebagai anak seni.
Setiap masa, peminat disajikan dengan visual aktres yang memiliki potongan badan persis ‘barbie’, manakala aktor pula megah dengan fizikal sasa.
Di sebalik obsesi kecantikan, wujud sekumpulan pelakon yang terpaksa mengorbankan penampilan mereka demi menjayakan watak agar kelihatan realistik di layar perak.
Kebiasaannya pelakon hanya akan kelihatan berisi menggunakan bantuan grafik komputer (CG) atau dengan memakai sut badan silikon.
Namun, ada juga yang sanggup mengorbankan bentuk tubuh ideal yang dijaga bertahun-tahun demi memastikan karakter dihidupkan bernyawa, biarpun terpaksa menjadi gempal.
Yoo Seung-ho

Menerusi drama thriller misteri Memorist, pelakon Yoo Seung-hoo, 32, memegang watak seorang pegawai polis dan detektif yang bersemangat tinggi, sekali gus keluar daripada imej pelakon kanak-kanak yang sinonim dengannya menerusi The Way Home.
Dalam Memorist, dia juga menaikkan berat badan untuk menonjolkan lagi sisi sasa dan gagah watak tersebut.
Bagaimanapun, penampilan tersebut menerima banyak kritikan serta komen berbaur benci, malah dia turut dituduh mengabaikan penjagaan diri.
Han So-hee

PELAKON Han So-hee meledak dalam industri sebagai superstar global selepas menjayakan watak sebagai Yeo Da-kyung, seorang wanita simpanan yang kaya tetapi naif dalam drama fenomena, The World Of The Married.
Bakat lakonannya sekali lagi menjadi bualan hangat apabila dia membawa watak sebagai pegawai polis penyamar yang berdarah dingin dan menyimpan dendam kesumat dalam siti Netflix, My Name.
Malah, pemilik nama sebenar Lee So-hee, 32, melakukan sendiri sebahagian besar babak aksi dalam karya tersebut.
Demi mempersiapkan diri bagi watak tersebut dia menambah berat badan sebanyak 10 kilogram (kg) jisim otot menerusi senaman intensif dan pelan pemakanan yang khusus.
Lee Sung-kyung

MEMULAKAN kerjayanya dalam industri hiburan sebagai seorang peragawati, Lee Sung-kyung kemudiannya menceburi bidang lakonan menerusi watak debutnya sebagai remaja bermasalah, Oh So-nyeo, dalam drama televisyen It’s Okay, That’s Love.
Selepas membintangi beberapa watak pembantu kecil, dia akhirnya berjaya mendapat watak utama pertamanya sebagai ahli angkat berat berbakat, Kim Bok-joo dalam drama Weightlifting Fairy Kim Bok-joo (2016).
Demi watak tersebut, wanita berusia 35 tahun itu sanggup menaikkan berat badan bagi menggambarkan bentuk fizikal watak berkenaan yang berotot.
Hasil daripada kerja kerasnya, dia memenangi Anugerah Kecemerlangan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri Mini dalam MBC Drama Awards pada 2016.
Heo Sung-tae

HEO Sung-tae jatuh cinta terhadap lakonan selepas menyertai rancangan bakat Miraculous Audition. Meskipun pernah membintangi beberapa filem dan siri televisyen seperti The Age of Shadows dan Rampant, namanya dikenali global selepas melakonkan watak peserta 101 dalam siri, Squid Game.
Demi menyempurnakan imej watak jahat, pelakon berusia 48 tahun itu terpaksa menaikkan berat badan sebanyak 15 hingga 17kg dalam masa kurang sebulan. Akuinya, dia melalui proses drastik tersebut memberikan kesan buruk terhadap kesihatan.
Lee So-jung

MENERUSI filem komedi romantik Plump Revolution, pelakon Lee So-jung menaikkan berat badannya melebihi 20kg demi menghidupkan watak Do A-ra meskipun dia mungkin berasa terbeban sebagai seorang pelakon yang perlu menggalas watak unik sedemikian
Memiliki metabolisme tubuh yang sukar untuk naik berat badan, pelakon berusia 32 tahun itu terpaksa meletakkan usaha yang sangat luar biasa demi membesarkan fizikalnya.
Dalam sehari, dia akan mengambil sebanyak 10,000 kalori dengan memakan makanan manis serta berminyak yang biasanya dielakkan sebelum ini.
Pelakon drama Undercover Miss Hong itu bahkan terpaksa dikejarkan ke hospital berikutan pelan diet ekstrem tersebut mula memberikan kesan buruk kepada kesihatan tubuhnya. – HIBGLAM
