PELAKON Nora Danish menegaskan usaha berubah ke arah lebih baik bukan bermakna seseorang itu sudah sempurna, sebaliknya satu proses panjang penuh cabaran dan muhasabah diri.
Ujar Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 44, perjalanan memperbaiki diri memerlukan kesabaran kerana setiap manusia melalui turun naik iman.
“Bila sampai satu tahap kita cuba berubah jadi lebih baik, itu bukan bermaksud kita sudah sempurna. Kita cuma sedang belajar, perlahan-lahan.
“Iman pun ada naik turunnya. Hati kadang kuat, kadang lemah,” katanya dalam Threads.
Tambah bintang filem Sayu Yang Syukur itu, usaha kecil dilakukan setiap hari menjadi langkah penting dalam membentuk versi diri lebih baik.
“Sekurang-kurangnya hari ini kita cuba jadi lebih baik daripada semalam.
“Sebab dalam hidup, semua orang sedang berjuang dengan diri sendiri,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang reaksi dalam kalangan netizen, rata-rata bersetuju dan menganggap perjalanan hijrah memerlukan istiqamah tinggi.
“Berubah bukan bermakna sudah sampai, tapi tandanya kita sudah mula bergerak.
“Iman turun naik itu normal, yang bahaya bila kita berhenti peduli. Lawan paling susah bukan dengan orang lain, tapi dengan diri sendiri setiap hari,” tulis seorang pengikut.
“Betul. Nak berhijrah mungkin mudah, tetapi untuk kekal istiqamah itu cabaran sebenar. Perlu ada lingkungan kawan lebih baik untuk saling mengingatkan,” kongsi netizen lain.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu memberikan pandangan berbeza, namun majoriti tetap menyokong usaha pelakon tersebut untuk terus memperbaiki diri.
Untuk rekod, ibu kepada dua cahaya mata itu mula berhijab pada Julai 2024 selepas menyimpan hasrat tersebut apabila usia mencecah 40 tahun.
Sejak itu, Nora semakin aktif berkongsi sisi kehidupan lebih tenang dan bermakna, termasuk menyertai aktiviti keagamaan serta mendekatkan diri kepada Tuhan. – HIBGLAM
