NOOR Kumalasari, satu nama yang kekal terukir di bintang dek kecemerlangan yang diraih menerusi lakonan, nyanyian serta peragaan sepanjang era 1970-an dan 1980-an.
Sekian lama berada di puncak kegemilangan dunia hiburan, figura yang kini berusia 70 tahun itu memilih untuk mengundurkan diri demi menikmati kehidupan yang lebih tenang dan mendamaikan.
Meski berundur jauh ke belakang meninggalkan lensa glamor, segala memori dan nostalgia sepanjang bergelar anak seni kekal terpahat kemas sebagai sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

TIADA lagi keinginan untuk berlakon, Noor Kumalasari bagaimana seronok dapat berkongsi kisah kegemilangannya kepada umum. – SYAKIR RADIN
Tiada sesalan
Meninggalkan banyak hal yang mudah didambakan setiap wanita, rasa sesal sedikit pun tidak pernah terbit di hatinya, terutama selepas nekad membuat keputusan untuk berhijrah ke fasa hidup yang baharu.
“Alhamdulillah, tidak ada rasa kesal. Setakat ini memang tidak ada sebarang karya seni terbaharu. cuma orang masih memanggil saya untuk temu bual,” katanya.
Mengimbas detik penghijrahannya, dia menyifatkan keputusan berhijab hadir secara berperingkat berkat doa yang tidak pernah putus terhadap Ilahi.
“Barangkali berkat doa saya sendiri. Sebenarnya, saya tidak sedar bahawa dalam hati memang sudah ada keinginan untuk berhijrah dan bertudung.
“Ketika pulang daripada mengerjakan haji suatu ketika dahulu, saya masih belum menutup aurat sepenuhnya dan masih menayang rambut.
“Namun, saya selalu berdoa supaya menjadi isteri yang solehah, menutup aurat dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tanpa disedari, semuanya berlaku secara perlahan-lahan dan sangat bersyukur,” katanya lagi.

NOOR bersama karyawan termasuk penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, Datuk Afdlin Shauki yang berkongsi pengalaman lebih tiga dekad dalam industri seni bersama moderator, Ahmad Fedtri Yahya dalam forum Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-35, baru-baru.
Tawaran
Biarpun sudah sekian lama meninggalkan pentas lakonan, tawaran lakonan daripada pelbagai rumah produksi masih rancak ditawarkan kepadanya.
Bagaimanapun, pintu hatinya untuk kembali ke set penggambaran sudah tertutup rapat.
“Masih ramai yang menawarkan watak kepada saya. Ada yang beritahu wataknya kecil sahaja dan hanya memerlukan dua atau tiga hari penggambaran.
“Namun, kalau Allah sudah menutup hati, tawaran itu langsung tidak menggerakkan hati. Setakat ini saya juga tidak mempunyai keinginan untuk kembali berlakon,” jelasnya yang diangkat sebagai Tokoh Perfileman Festival Filem Malaysia ke-35 tahun ini.
Melihat landskap industri hiburan masa kini, adik kepada penyanyi, Anita Sarawak itu mengalu-alukan kehadiran generasi muda yang mewarnai dunia seni tetapi tetap mengakui sangat merindui landskap dunia seni ketika zaman kegemilangannya.
Antara memori yang paling membekas dan hubungan akrab antara artis dengan peminat yang terjalin erat menerusi kiriman surat, poskad dan kad raya.
“Dahulu, kita selalu menerima kad raya bertimbun-timbun tetapi sekarang sudah tidak ada, semuanya melalui aplikasi WhatsApp.
“Saya tetap lebih suka zaman dahulu terutama zaman sekolah yang ketika itu ada majalah, surat khabar dan surat daripada peminat. Sekarang semuanya melalui media sosial,” ujarnya.
Ditanya mengenai penglibatan dalam dunia maya, dia mengakui enggan membuka sebarang akaun media sosial kerana tidak mahu dibebani perkara yang dianggap merimaskan fikiran.
“Tak ada Instagram, tiada apa-apa. Serabutlah kepala otak!
“Saya juga tiada kelab peminat malah untuk umur sekarang, tak perlulah ada semua itu sebab kubur pun dah memanggil,” katanya berseloroh.

NOOR Kumalasari mengakui pernah menolak tawaran lakonan bernilai lebih RM100,000 yang mensyaratkannya menanggalkan tudung bagi menjayakan watak dalam sebuah drama bersiri.
Menyentuh mengenai penampilannya yang kekal anggun mempesona pada usia mencecah 70 tahun, beliau merendah diri menyifatkannya sebagai anugerah Ilahi, di sebalik kudrat fizikal yang kian terbatas dimamah usia.
“Alhamdulillah, itu anugerah Allah. Itu pun kena pimpin ketika nak naik tangga kerana takut jatuh. Umur sudah 70 tahun pun nak berlagak (jalan ala model), masih nak berjalan bergaya juga,” selorohnya lagi.
Noktah yang sempurna
Menutup lembaran panjang dunia seninya, pelantun lagu Mata itu berkata, sudah mencapai kepuasan untuk setiap pencapaian dan peluang meneroka pelbagai watak sepanjang bergelar pelakon.
“Setakat ini, saya puas dengan perjalanan dalam bidang lakonan dan nyanyian. Bidang peragaan pula sudah lama ditinggalkan, tetapi saya masih suka bergaya dan melihat pakaian yang cantik.
“Sepanjang bergelar pelakon, macam-macam watak sudah cuba termasuk karakter hantu, sedih dan komedi.
“Alhamdulillah, setakat ini saya memang berpuas hati dengan sumbangan yang pernah diberikan dalam bidang lakonan dan nyanyian,” tutur bintang filem Esok Untuk Siapa itu.
Dalam masa sama, dia sempat menyeru agar seluruh penggiat seni sentiasa saling menghormati dan menghargai sumbangan antara generasi demi memartabatkan industri kreatif tanah air.
“Terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa menyokong penggiat seni dan karya-karya dihasilkan. Kalau tiada generasi terdahulu, tidak mungkin ada pelapis sekarang.
“Kita perlu sentiasa menghormati semua penggiat seni dalam apa jua bidang dan memberikan sokongan kepada mereka terutama golongan muda yang mahu berjuang serta mempunyai minat dalam bidang seni.
“Kepada semua peminat yang masih mengikuti perjalanan saya sehingga hari ini, saya sangat menghargainya,” jelasnya mengakhiri temu bual.

TOLAK tawaran lakonan atau kemunculan di pentas fesyen, Noor bagaimanapun tetap berbesar hati apabila masih dijemput untuk sebarang sesi perkongsian yang bermanfaat terhadap industri seni dan hiburan tanah air.

