‘Tak sedap orang berkorban’ – Bront Palarae ‘skip’ berlakon drama

PELAKON dengan variasi anugerah terbaik dalam dan luar negara, Bront Palarae mengakui keputusannya memilih untuk tidak lagi berlakon dalam drama televisyen tanah air selepas berdepan realiti pahit di sebalik dunia produksi terutama dari segi bayaran.

Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, berkata, isu bayaran menjadi antara faktor utama yang membuka matanya tentang ketidakseimbangan berlaku dalam industri.

“Bila bekerja, tangga gaji menjadi antara aspek penting. Sebagai pelakon, kita kejar bayaran, terutama di televisyen sebab dibayar ikut episod.

Ada satu projek, antara yang terakhir saya di TV. Saya berjuang untuk angka bayaran dimahukan dan selepas perbincangan, mereka bersetuju.

“Pada awalnya saya rasa itu satu kemenangan sebagai pelakon,” katanya dalam sebuah program audio siar.

Bagaimanapun, bintang filem Libang Libu itu berkata, suasana di set penggambaran mengubah persepsinya apabila menyedari ada kru produksi menerima bayaran jauh lebih rendah meskipun bekerja sepanjang projek.

Disebabkan itu, dia mengambil keputusan tegas untuk tidak lagi terlibat dalam mana-mana produksi drama televisyen.

“Masuk minggu kedua, baru nampak realiti sebenar. Ada individu bekerja sepanjang projek tetapi gaji mereka lebih kecil daripada bayaran saya untuk satu episod.

Dalam kita rasa menang, sebenarnya tidak sedap apabila ada orang ‘berkorban’ untuk kita.

“Sebab itu saya nekad, tiada lagi drama TV selepas ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 itu menegaskan keputusan tersebut bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sekadar pendirian peribadi.

Saya tidak menyalahkan penerbit kerana mereka perlu menjaga kos dan margin.

“Saya juga tidak menyalahkan stesen televisyen, semua pihak ada kekangan masing-masing,” jelasnya jelasnya yang bakal kembali menghantui pawagam dengan filem Ghost in the Cell bersama produksi Indonesia tidak lama lagi.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, ada menyokong pendiriannya sebagai langkah berprinsip namun tidak kurang mempersoalkan realiti industri hiburan tempatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok