SENTIASA positif dengan pilihan isteri, pelakon Fattah Amin memberi sokongan penuh terhadap keputusan Amira Othman untuk berundur daripada arena lakonan.
Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, berkata, sebagai suami perkara paling utama adalah kegembiraan isteri sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan.
Saya sebenarnya tak kisah asalkan Amira gembira untuk buat apa yang disukai. Kita pun kalau nak buat sesuatu mesti akan dulukan perasaan sama ada seronok atau tak.
“Kita tak nak buat sebab terpaksa — kami pula masuk dalam industri ini untuk cari rezeki,” katanya selepas tayangan telefilem Poskad Cinta Dari Istanbul, di sini, baru-baru ini.
Menerusi telefilem romantik komedi terbitan UTV Original itu, Fattah bergandingan dengan Amira sebagai suami isteri.
Akuinya lagi, selepas Poskad Cinta Dari Auckland meraih sambutan, mereka digandingkan lagi untuk kesinambungan kisah cinta siaran saluran penstriman UTV itu.
“Kali ini rezeki kami dapat berlakon bersama, jadi lagi mudahlah. Dalam masa sama, nak wujudkan keserasian pun mudah.
Bila ada tawaran yang bagus, tentunya saya dan Amira akan tengok skrip dulu, kemudian watak tapi bukan kita yang tentukan, itu semua rezeki. Kita pun tak tahu watak macam mana kita dapat, skrip macam mana.
“Selepas diajukan tawaran kami akan pertimbangkan sama ada nak buat atau tidak. Kalau rasa nak buat, barulah kami beri kata putus,” katanya.
Menurut Fattah lagi, bukan hanya disebabkan naskhah yang bagus, Amira turut sedia beraksi dalam telefilem ini selepas sekian lama tidak berlakon kerana itu sebahagian komitmen selaku duta jenama Amber.
Terdahulu, penyanyi lagu Rasa & Takdir itu memaklumkan mahu menumpukan perhatian terhadap nyanyian berbanding lakonan dengan tidak lagi memenuhi tawaran kecuali jika terdapat perjanjian bersama jenama diwakili.
Amira yang mengumumkan kehamilannya semalam dengan kandungan memasukk tujuh bulan sebelum ini pernah muncul dalam drama 30 Hari Membunuh Cinta, Red Velvet Dan Abang Bomba I Love You. – HIBGLAM
