Cipta sejarah! 16 pempengaruh 7 negara berentap di gelanggang tinju Dubai 

INDUSTRI kandungan digital global bakal melakar sejarah baharu menerusi penganjuran All Star Championship: Dubai Edition yang menghimpunkan 16 pempengaruh media sosial dari tujuh buah negara dalam satu gelanggang tinju, esok.
Acara yang dijadualkan berlangsung di Round 10 Boxing Club, Dubai itu melibatkan peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun, Vietnam, Rusia dan Maghribi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, kejohanan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya di dunia yang menggabungkan elemen sukan tinju profesional dengan pengaruh media sosial.
“Ini adalah perlawanan pempengaruh pertama di dunia. Kita himpunkan mereka untuk bertanding dalam suasana kompetitif namun tetap mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi.
“Selain itu, ini menjadi platform terbaik buat golongan ini keluar dari zon selesa dan membuktikan kemampuan fizikal serta mental mereka dalam bidang baharu,” katanya.
Mengulas mengenai kriteria pemilihan, Abd. Rahman menjelaskan populariti semata-mata bukan tiket utama untuk melayakkan diri, sebaliknya disiplin dan keserasian fizikal menjadi ukuran utama.
Malah, kesemua peserta diwajibkan menjalani latihan intensif selama empat bulan bagi memastikan kualiti perlawanan berada pada tahap terbaik.
“Pemilihan bukan sekadar populariti, tetapi kita melihat keserasian, disiplin dan semangat untuk bertanding agar perlawanan menjadi seimbang.
“Gabungan faktor ini penting bagi memastikan setiap pertarungan memberi impak dan pengalaman terbaik kepada penonton,” ujarnya.
“Kalau tiada disiplin dan usaha, ini bukan pertandingan. Kita mahu perlawanan yang berkualiti dan kompetitif.
“Sebab itu, setiap peserta perlu konsisten dalam latihan dan menunjukkan perkembangan yang jelas sebelum dibenarkan naik ke gelanggang,” katanya.
Menyentuh soal keselamatan, Abd. Rahman memberi jaminan bahawa aspek tersebut menjadi keutamaan tertinggi memandangkan risiko fizikal yang bakal dihadapi peserta antarabangsa tersebut.
Selain pemeriksaan kesihatan yang ketat termasuk ujian darah, penganjur turut menyediakan pasukan perubatan dan ambulans mengikut piawaian badan pengawal selia di Dubai.
“Keselamatan tidak boleh dikompromi. Saya sendiri akan ke Dubai lebih awal bagi memastikan lokasi dan prosedur keselamatan berada pada tahap optimum. Jika tidak selamat, kita tidak akan teruskan.
“Bagi kategori wanita, penggunaan pelindung muka dan sarung tangan khas diwajibkan bagi meminimumkan risiko kecederaan,” jelasnya lagi.
Peminat yang ingin menyaksikan aksi pempengaruh kegemaran mereka boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang rasmi www.allstarinfluencers.com. — HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok