‘Kita boleh berbeza pandangan tanpa perlu merendahkan sesiapa’

TAMPIL bersuara, penyanyi juga pelakon, Alif Satar menyifatkan kontroversi membabitkan jenama penjagaan diri lelaki, Kahf yang didakwa memuat naik kandungan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia sebagai perkara yang tidak wajar dipandang ringan.

Sebagai rakyat Malaysia dan selaku duta produk, Alif, 36, dia tidak pernah bersetuju dengan sebarang kandungan yang merendahkan mana-mana negara atau individu sekali pun.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya negara dan rakyat kita mesti dihormati.

Memuatkan artikel berkaitan…

Prinsip saya, memang tidak pernah bersetuju dengan kandungan yang merendahkan mana-mana negara atau sesiapa pun,” katanya dalam satu hantaran Threads.

Ujarnya, kepercayaan sukar untuk diraih semula meski pihak Kahf sudah membuat permohonan maaf secara terbuka semalam.

Dalam masa sama, dia sempat mengingatkan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak merendahkan maruah orang lain.

“Saya ambil maklum permohonan maaf pihak Kahf. Namun, kepercayaan perlu dipulihkan dengan tindakan yang jelas.

Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, matang dan penuh rasa hormat.

“Saya percaya, dalam apa juga keadaan, kita boleh berbeza pandangan tanpa perlu merendahkan sesiapa,” katanya lagi.

Alif bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pelantikannya sebagai duta produk akan berakhir disebabkan isu tersebut atau sebaliknya.

Sejak semalam, nama Alif hangat menjadi bualan apabila berdepan desakan netizen supaya menghentikan promosi sebuah jenama wangian lelaki Indonesia, Kahf selepas syarikat berkenaan mencetuskan kontroversi menerusi satu hantaran yang menyentuh sentimen kenegaraan dalam media sosial kelmarin.

Rentetan itu, Kahf juga menerusi satu hantaran media membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dihambat kecaman hebat daripada rakyat Malaysia.

Jenama itu juga berdepan pelbagai komen negatif termasuk ada yang bersuara mahu memboikot.

Sementara itu, jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali turut menzahirkan pandangannya berhubung kontroversi melibatkan jenama penjagaan diri lelaki dari Indonesia, Kahf yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.

Johan atau lebih mesra disapa Jojo yang mempunyai kerjasama dengan jenama berkenaan memilih untuk tidak terburu-buru ‘menghukum’ Kahf susulan kontroversi hantaran ‘Hati-Hati Beda Level’ yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya rakyat Malaysia.

Menerusi satu perkongsian dalam Threads, atlet berusia 19 tahun itu mengakui pasukan Kahf sememangnya telah melakukan kesilapan. Bagaimanapun, baginya kesilapan merupakan sesuatu yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dan apa yang lebih penting adalah kesediaan untuk mengakuinya serta memohon maaf.

Isu tersebut berikutan ‘perang’ antara netizen Malaysia dan Indonesia semakin melarat susulan perdebatan mengenai rakyat negara jiran yang memandang rendah skuad bola sepak tanah air selepas mereka juara Piala ASEAN FIFA 2026 apabila menewaskan Thailand.

Rentetan itu, netizen Malaysia tampil bersuara mempertahankan diri dengan melahirkan rasa bangga dengan kemajuan negara termasuk memiliki pasport paling berkuasa di dunia selain mengecam pembakaran hutan di Kalimantan, Indonesia sehingga menyebabkan jerebu di sini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok