ASIA2026 sengit, pempengaruh 20 negara buru trofi

PERSAINGAN merebut pengiktirafan dalam All Star Influencers Award (ASIA) 2026 semakin sengit apabila lebih 120 pempengaruh dari 20 negara memburu anugerah  dalam 13 kategori  pada acara yang dijadual berlangsung pada 18 Oktober depan.

Edisi kali ini menghimpunkan peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, Rusia, Jepun, Uzbekistan, Kazakhstan, Vietnam, Pakistan, India, Arab Saudi, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, Kyrgyzstan, Laos, Turkiye, China dan Singapura.

Pengasas All Star Influencers Award, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, mutu penghasilan video serta kesungguhan peserta sepanjang program menyukarkan pemilihan pemenang, lebih-lebih lagi apabila penyertaan baharu turut memberi saingan kepada pempengaruh berpengalaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita lihat tahun ini, persaingan memang lebih sengit. Ramai pempengaruh baharu yang pertama kali menyertai ASIA dan mereka bersaing bersama pempengaruh yang sudah berpengalaman.

“Menariknya, kualiti video dan komitmen yang diberikan juga sangat bagus. Jadi, untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Menurut Abd Rahman lagi, setiap peserta memperlihatkan komitmen tinggi, sekali gus menjadikan perebutan anugerah, termasuk kategori Best Influencers semakin mencabar.

“Masing-masing sudah memberikan yang terbaik. Jadi, pemilihan untuk setiap kategori termasuk Best Influencers, dijangka sangat sengit.

“Kita tengok siapa yang benar-benar konsisten dari segi kandungan, kreativiti dan komitmen sepanjang program,” katanya.

Antara 13 kategori yang menjadi rebutan ialah Best Gourmet Story Award (Individual), Best Storyteller Award (Individual), Best New Mixed Dance Award (Group) dan The People’s Choice Award (Individual).

Turut dipertandingkan, Best Culture Curator Award (Group), Best Comedy Maestro Award (Individual) serta Best Mixed Language Award (Group).

Promosi Malaysia

Abd Rahman berkata, pilihan kategori yang pelbagai membolehkan peserta menonjolkan kelebihan, kreativiti serta identiti tersendiri dalam penghasilan kandungan.

Dalam pada itu, pengaruh peserta di platform digital turut membantu memperluas perhatian terhadap ASIA2026 apabila tanda pagar #AllStarInfluencersAward2026 merekodkan lebih 500 juta tontonan.

“Angka itu sangat positif dan kita menjangkakan jumlah tontonan digital akan terus meningkat dari semasa ke semasa sepanjang program ini berlangsung.

“Ini menunjukkan kandungan yang dihasilkan peserta bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, tetapi turut membuka peluang untuk memperkenalkan destinasi dan pengalaman Malaysia kepada audiens antarabangsa,” katanya.

Selain menjadi medan persaingan, ASIA2026 membawa peserta menjelajah beberapa destinasi menarik di negara ini untuk menghasilkan kandungan berasaskan pengalaman mereka mengenali tarikan pelancongan, makanan dan budaya tempatan.

Siri jelajah tersebut bermula di Johor dan Negeri Sembilan, disusuli Perak serta Kuala Lumpur, kemudian Terengganu serta Pahang, sebelum diteruskan ke Langkawi, Pulau Pinang dan Perlis. Sabah pula bakal menjadi destinasi terakhir peserta.

“Program ini bukan sekadar pertandingan influencer. Kita mahu mereka mengenali Malaysia dengan lebih dekat melalui pengalaman sebenar, termasuk aktiviti, makanan dan kebudayaan yang ada di setiap destinasi.

“Semua pengalaman ini kemudian diterjemahkan dalam bentuk kandungan digital untuk diperkenalkan kepada pengikut mereka di seluruh dunia,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia bagi mempromosikan negara sempena kempen Visit Malaysia 2026.

Menurut Abd Rahman, perbezaan latar belakang dan kelompok pengikut peserta membuka ruang untuk tarikan serta pengalaman di Malaysia dipersembahkan melalui pelbagai sudut pandang.

Perkongsian sepanjang jelajah itu turut memperlihatkan komitmen peserta yang bukan hanya menghasilkan kandungan untuk meraih perhatian, malah membawa pengalaman mengenali Malaysia kepada khalayak antarabangsa.

Sejak diperkenalkan pada 2023, ASIA menyaksikan Ahieb Reborn dari Indonesia memenangi edisi sulung, diikuti seorang lagi wakil negara itu, Saal Haerid pada 2024, sebelum Cindy dari Vietnam dinobatkan pada 2025.

Pemenang Best Influencers tahun ini bakal menerima wang tunai AS$10,000 (RM40,800) berserta pakej percutian ke luar negara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok