PELAKON Azar Azmi mendedahkan pernah berasa segan untuk bertegur sapa dengan rakan selebriti, Reen Rahim yang singgah di gerai cempedak goreng sebelum ini.
Menurut Azar, 36, dia tidak menegur rakan seperjuangannya itu kerana bimbang wujud rasa janggal antara mereka pada waktu tersebut.
“Ada satu hari, Reen ada datang tetapi dia tak tahu saya yang berniaga sebab memakai topeng pelitup muka dan kaca mata.
Dalam hati saya ketika itu, rasa membuak-buak nak tegur kawan baik sendiri namun terpaksa melupakan hasrat tersebut dan tahan saja diri.
“Sebab saya rasa pada ketika itu, belum masa lagi nak dedahkan diri kepada umum dan sangat segan dengan Reen,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Katanya, dia berasa tidak layak dengan Reen yang dianggap sebagai pelakon hebat berbanding dirinya pada ketika itu.
“Sudahlah saya hilang dari dunia seni tiba-tiba, kemudian nak tegur pula, takut ada rasa janggal itu.
“Jadi, tidak mengapalah, sebab rasa diri sendiri ini macam tidak setaraf — hanya berniaga. Manakala dia pula Reen Rahim,” ujarnya.
Azar bagaimanapun menafikan tindakan enggan bertegur sapa tersebut disebabkan bimbang tanggapan dia mahu mengambil kesempatan atas kehidupan susahnya sebelum ini.
“Saya tak fikir langsung pun benda itu, kalau nak cakap tanggapan negatif orang, saya sudah lali.
Cuma saya rasa belum tiba masa untuk saya dedah diri secara terbuka namun sekarang, syukur ramai rakan artis beri semangat, saya sangat berterima kasih,” katanya lagi.
Terdahulu, nama pelakon drama Nur 2 itu menjadi bualan selepas dia dan suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes sama.
Begitupun, pelakon usia 37 tahun itu dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.
Dalam prosiding pada Mac lalu, suaminya mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Mohd. Apri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun. – HIBGLAM
