‘Terbang tinggi Siti Adira, saya doakan awak dan Anggrek’ 

KEHADIRAN usahawan sensasi, Datuk Red di program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) bagi memberikan sokongan kepada bekas isteri, Adira Suhaimi dan anak sulung mereka, Anggrek mencuri perhatian ramai.

Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu, 48, berkata, kehadirannya adalah sebagai tanda sokongan terhadap Anggrek dan bangga dengan pencapaian puterinya itu.

“Hari ini saya datang untuk bagi sokongan kepada anak saya, Anggrek. Memang impian saya nak tengok anak saya. Alhamdulillah cemerlang hari ini. Tahniah Anggrek.

Tengok anak-anak lain juga ada atas pentas, menitis air mata. Nak peluk tak dapat kan? Sebab jauh. Tahniah juga kepada Adira kerana berjaya menggilap bakat Anggrek,” katanya ketika ditemui di konsert TTMM2, malam tadi.

Dalam pada itu, kehadiran Datuk Red juga adalah kerana mahu memohon maaf kepada Adira atas kekhilafan yang berlaku ketika proses mahkamah berkenaan rujuk mereka.

Saya datang ini sebagai tanda sokongan dan permohonan maaf untuk Adira. Saya nak jernihkan apa yang saya sudah buat sebelum ini. Saya doakan semoga dia bahagia.

“Siti Adira, terbanglah tinggi. Saya doakan awak dan Anggrek,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan anak-anak selepas berpisah, Datuk Red memaklumkan sudah dua minggu tidak bertemu mereka secara berdepan namun tetap memantau perkembangan melalui panggilan video.

Tambahnya, Adira mungkin sudah mengetahui kehadirannya di majlis tersebut memandangkan dia sendiri meminta tiket daripada pengurus penyanyi itu.

Dua minggu (tak jumpa). Saya ada ‘video call’ dengan bibik tapi dalam keadaan sekarang bagi saya bertenang dulu.  Sebak bila tengok semua tadi. Tapi tak apa, asalkan mereka bahagia. Ya, saya sebak.

“Adira mungkin tahu saya datang sebab saya minta tiket dekat pengurus dia,” kongsinya.

Sebelum ini, Adira meluahkan rasa terkilan dengan tindakan Datuk Red yang didakwa meletakkan syarat bagi menyelesaikan kemelut kes rujuk mereka.

Adira mendedahkan usahawan itu meminta bayaran sebanyak RM100,000 sebagai salah satu syarat untuk membatalkan kes selain menggugurkan kes saman sivil berkaitan tuntutan hutang.

Datuk Red bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan menegaskan tidak pernah membuat sebarang tawaran itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok