Hans Isaac bakal kahwin bekas Miss Universe Malaysia

SELEPAS sekian lama membiarkan status solo menjadi tanda tanya, pelakon Datuk Hans Isaac akhirnya menemui wanita yang berjaya menawan hatinya apabila mengumumkan bakal memperisterikan peragawati dan bekas Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 55, menyifatkan keputusan untuk memperisterikan wanita berdarah Kayan itu sebagai antara keputusan terbaik pernah dibuat dalam hidupnya.

Menerusi perkongsian di media sosial, Hans meluahkan keterujaan untuk melayari bahtera rumah tangga bersama wanita pilihannya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“She said yes (Dia berkata ya).

“Selamanya bersama insan kegemaran saya. Menuju ke alam perkahwinan bersama bakal isteri saya yang berdarah Kayan atau Iban.

“Ini keputusan terbaik yang pernah saya buat dan dia berkata ya.

“Dia sudah terikat dengan saya sekarang. Tiada lagi soalan ‘Hans, bila nak kahwin?’,” tulisnya.

Menerusi hantaran sama, pelakon filem Baik Punya Cilok itu turut berkongsi momen romantis ketika melamar Francisca berlatarbelakangkan Menara Eiffel, Paris.

Terdahulu, Hans pernah mengikat tali pertunangan dengan bekas ratu cantik, Aileen Gabriella Robinson pada Januari 2017.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun sama, penerbit itu mengumumkan pertunangan serta perancangan perkahwinannya dengan wanita kelahiran Singapura berkenaan tidak diteruskan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok