MENEPIS dakwaan kononnya dibelenggu masalah kewangan dan hutang, pempengaruh, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfeq atau Dr Fie mendedahkan mampu menjana pendapatan lumayan hasil penglibatan dalam bidang perniagaan serta penciptaan kandungan digital.
Dr. Fie, 36, berkata, kedudukan kewangan yang dikecapinya hari ini bukanlah sesuatu yang diraih dalam sekelip mata, sebaliknya hasil usaha membina kerjaya menerusi beberapa cabang termasuk sebagai doktor gigi, pengusaha klinik pergigian, pempengaruh media sosial dan duta produk.
Pendedahan itu dibuat ketika menjawab pertanyaan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri dalam episod Paparazzi Podcast yang turut menampilkan suaminya, Amarul Nizar Anuar atau Kapten Amrul.
Menurut Dr. Fie, pendapatan sekitar RM4,000 sebulan ketika berkhidmat sebagai doktor kerajaan sebelum ini tidak mencukupi untuk membolehkannya memiliki aset bernilai tinggi seperti rumah.
Bagaimanapun, keputusan menceburi bidang perniagaan selain aktif sebagai pencipta kandungan digital membuka peluang kepadanya menikmati sumber pendapatan yang jauh lebih besar.
“Kalau saya hanya bergantung pada gaji doktor RM4,000 lebih, memang tidak lepas untuk membuat pinjaman rumah. Mestilah kalau berniaga, pendapatan lebih tinggi daripada gaji doktor.
“Secara kasarnya lima angka,” katanya sebelum dicelah Amrul yang mendedahkan pendapatan isterinya boleh mencecah lima hingga enam angka.
Bagaimanapun, Dr. Fie secara berseloroh enggan mendedahkan jumlah sebenar pendapatannya kerana tidak mahu perkara itu menjadi perhatian umum.
Malah, katanya, dia sendiri tidak mengetahui angka tepat pendapatan bulanan kerana menyerahkan urusan kewangan kepada akauntan yang dilantik.
Dalam masa sama, Amrul turut menepis dakwaan isterinya mempunyai masalah kewangan atau rekod kredit yang buruk, malah mendedahkan pernah membuat semakan latar belakang kewangan Dr. Fie menerusi sistem CTOS sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
“Dia mana ada hutang. Hutang dia cuma kereta dan rumah, itu perkara biasa.
“Bukan hutang yang dalam rekod CTOS tulis ‘poor’. Rekod dia masih pada tahap ‘fair’ ke atas,” katanya.
Dr. Fie juga menegaskan dia sudah membina kehidupan serta kedudukan kewangan sendiri selepas berpisah daripada perkahwinan terdahulu, termasuk memiliki rumah dan kereta sebelum bertemu jodoh dengan Amrul.
Untuk rekod, Dr. Fie sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Nubhan sebelum mereka berpisah pada penghujung tahun lalu.
Dr. Fie dan Amrul kemudian sah bergelar suami isteri pada 1 November lalu menerusi majlis pernikahan yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan. – HIBGLAM

