LAGU Cinta Di Akhir Garisan 2.0 nyanyiannya bersama Marsha Milan, Nadeera dan Aisha Retno dikecam teruk, penyanyi Adira Suhaimi tidak berkecil hati, sebaliknya memilih untuk menerima setiap kritikan secara terbuka.
Ujar Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 35, dia sedar bukan semua peminat akan menerima versi baharu lagu berkenaan, apatah lagi karya terbabit sudah sebati dengan jiwa pencinta muzik menerusi persembahan penyanyi asal.
“Saya baca segala komen yang ditinggalkan di media sosial, tetapi saya tidak ambil hati dengan komen-komen tersebut.
“Saya dan tiga penyanyi lain sudah berbincang dan kami berempat okey sahaja. Dalam perkara begini, normal apabila ada orang suka dan ada juga tidak menyukainya.
“Saya sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku. Namun, saya memilih untuk memberi tumpuan kepada komen bagus serta perkara positif sahaja,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, semalam.
Tambah pelantun lagu Pujaan Hati itu, setiap penyanyi memiliki identiti serta pendekatan tersendiri dalam menghidupkan sesebuah karya, justeru perbandingan antara versi lama dan baharu tidak seharusnya menjadi ukuran utama.
“Versi lama sudah mempunyai standard tersendiri dan menjadi identiti penyanyi asal. Bagi kami pula, setiap seorang ada cara tersendiri untuk menyampaikan lagu ini.
“Saya sendiri ada gaya nyanyian tersendiri. Begitu juga Marsha, Nadeera dan Aisha, masing-masing mempunyai kekuatan serta karakter vokal sendiri.
“Kami berempat sudah memberikan sepenuh kemampuan untuk menghasilkan versi 2.0. Kami tidak berharap versi baharu ini dapat menandingi versi lama, sebaliknya cukuplah jika mendapat tempat di hati peminat. Kami bukan mahu menandingi versi asal,” ujarnya.
Terdahulu, segelintir pencinta muzik tempatan menyuarakan pandangan kurang memberangsangkan terhadap Cinta Di Akhir Garisan 2.0, malah ada mengakui lebih menggemari versi asal dendangan Datuk Ziana Zain, Datuk Nora Ariffin, Ning Baizura dan Dessy Fitri.
Sebelum ini, komposer lagu berkenaan, Ajai, mengakui sudah bersedia sekiranya versi baharu Cinta Di Akhir Garisan dibandingkan dengan rakaman asal.
Menurut Ajai, karya ikonik lazimnya tidak terlepas daripada penilaian serta perbandingan peminat apabila diberi nafas baharu.
Bagaimanapun, dia percaya setiap generasi hadir dengan pendekatan, identiti dan cara penyampaian tersendiri dalam menghidupkan semula sesebuah karya. – HIBGLAM
