Mama tak kongkong, dia tahu apa terbaik – Azeva

SEJAK menyertai program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), nama Azeva mendapat tempat dalam hati peminat seni tanah air.

Menamatkan saingan di kedudukan tempat keempat, rezeki anak kepada penerbit Datuk A. Aida itu datang mencurah apabila diberi kepercayaan mengendalikan program Big Stage X Rocketfuel, sekali gus memikat hati penonton menerusi kelincahan dan kepetahannya berbicara.

Meski semakin menjadi sebutan, Azeva atau nama penuhnya Azeva Natassha Wan Aminuddin menegaskan setiap kerja seni diletakkan sepenuh di bawah pengurusan ibunya yang lebih berpengalaman.

“Saya percayakan mama 100 peratus untuk uruskan hidup saya. Dia sudah lama dalam industri dan tahu apa nak buat.

“Ada produksi lain panggil saya berlakon tapi mama tolak. Banyak rupanya, saya baru tahu minggu lepas.

“Tapi saya faham, mama ada perancangan lain untuk saya. Dia nak saya belajar selok-belok dunia lakonan terlebih dahulu sebelum berlakon dengan produksi lain.

“Saya bawa nama mama saya, kalau tak pandai berlakon memalukan. Jadi, dengan rendah hati saya banyak menolak takut tak mampu dan tidak layak,” katanya kepada HibGlam.

Menepis dakwaan bahawa dia dikongkong, penyanyi berusia 25 tahun itu sebaliknya bersyukur kerana menyerahkan urusan kerjaya kepada ibu tercinta demi menjaga reputasi serta masa depan seninya.

“Saya tak kena kongkong dengan mama, saya rela hati bagi dia uruskan. Dia tahu apa yang terbaik, kenal semua orang dalam industri.

“Mama saya nak anak dia ada nama elok dalam industri. Dia tengah persiapkan saya.

“Saya ikut sahaja cakap mama saya,” katanya lagi.

Disoal mengenai jadual seni, Azeva mengakui rutin hariannya penuh dengan pelbagai komitmen tahun ini dan itu merupakan fasa baharu dalam hidupnya.

“Paling sibuklah 2026, selama ini sibuk kacau mama, keluar masuk pejabat dia. Sekarang kacau juga tapi dalam masa sama saya bekerja, mencari rezeki untuk tanggung mama pula selepas ini.

“Saya sebenarnya dah tak nak dah tengok mama bekerja sebab saya pun nampak dia dah mula penat. Dah 40 tahun dia bekerja.

“Inilah masanya untuk mama rehat. Saya nak dia seronok dan bagi semua apa yang dia nak. Selagi saya mampulah,” ujarnya.

Tanpa Rasa Jemu

Mengulas lanjut kerjaya seninya, anak kepada penyanyi Ameng Spring itu melangkah setapak lagi apabila tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul Tanpa Rasa Jemu hasil ciptaan ibunya.

“Mama sangat yakin dengan lagu ini dan lirik pun 100 peratus dia buat.

“Saya bersyukur mama orang pertama yang tulis lirik lagu untuk saya dan kalau ada rezeki masuk Anugerah Juara Lagu (AJL), itu bonus dan sangat kami hargai. Siapa yang tak mahu kan, semua penyanyi mahu masuk AJL,” katanya.

Dalam masa sama, Azeva mengakui sukar menyampaikan lagu itu memandangkan dia masih hijau dalam dunia nyanyian.

“Lagu ini sebenarnya susah sangat, apatah lagi saya tiada pengalaman dalam bidang ini (nyanyian). Orang kata, baru nak jejak kaki dan berjinak-jinak.

“Jika ada sebarang kekurangan dalam lagu ini, harap orang ramai dan peminat saya dapat menerimanya. Saya juga memohon maaf kerana tidak sempurnakan dahulu diri sebagai penyanyi dan mencari ilmu sebanyak mungkin sebelum merakam lagu ini. Apa-apa pun, ini salam perkenalan daripada saya,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok