Lunas janji, Siti Nurhaliza sambung ‘konsert’ di resepsi BASS

BAGAI belum hilang penat Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung semalam, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza sempat menghadirkan diri ke Majlis resepsi Bella Astillah dan Syed Saddiq di Mitec, Kuala Lumpur hari ini.

Bukan itu sahaja, Siti, 47, menghadiahkan alunan lunak kemerduan vokalnya menerusi lagu Bukan Cinta Biasa buat pasangan mempelai sama cantik, sama padan itu secara langsung.

Anggun mengenakan busana tradisional berona hijau zamrud dipadankan dengan songket, perihal itu dikongsikan usahawan dan pempengaruh popular, Khairulaming menerusi Threads.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tokti sambung konsert kat sini guys. Nak nangis,” demikian coret Khairulaming beserta video pendek nyanyian penghibur ternama itu.

Rata-rata peminat menzahirkan rasa kagum terhadap Siti yang bukan sahaja memenuhi undangan pengantin ke majlis resepsi, bahkan sempat menyanyi di acara penuh bermakna Bella dan suami, Syed Saddiq.

TokTi dah berjanji akan buat persembahan untuk majlis kahwin Bella. Alhamdulillah, tertunai.

“Fuh TokTi, semalam concert. Pagi tadi, M&G. Malam nyanyi untuk resepsi Bella dan Syed Saddiq. Betul-betul semangat TokTi dan tak tahu apa itu erti penat,” demikian antara komen peminat.

Konsert Tradisional Gema Bumantara berlangsung di TM Nasional Stadium Bukit Jalil semalam berjaya menarik kehadiran lebih 63,000 peminat walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Konsert mega itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok