‘Apabila tiba masa makan, saya makan’ – Faizal

PENYANYI Faizal terbuka menerima nasihat yang diberikan juri tetap Gegar Vaganza Fantasia (GVF), Datuk Shafinaz Selamat berhubung penjagaan pemakanan bagi mengawal berat badan.

Faizal atau nama penuhnya Mohammad Faizal Ramly, 42, mengakui faktor peningkatan usia menjadi antara cabaran utama untuk menurunkan berat badan terutamanya apabila dia mudah berasa lapar pada waktu malam.

“Memanglah satu pesanan yang baik untuk saya. Saya ini kalau waktu malam sahaja mesti lapar tapi apakan daya, mungkin faktor usia juga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya saya sudah kurangkan makan, tetapi apabila umur semakin meningkat, bukan mudah untuk menurunkan berat badan.

“Bagaimanapun, saya terima sahaja keadaan diri yang gemuk macam ini. Saya tidak ada masalah dan bahagia sahaja menjalani kehidupan,” katanya kepada Kosmo! Online usai konsert minggu kedua GVF, semalam.

Namun, juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu menyedari kepentingan menurunkan berat badan bagi mengekalkan stamina ketika beraksi di atas pentas.

“Cuma, saya memang perlu turunkan berat badan supaya dapat menyanyi dengan lebih bertenaga dan mempunyai stamina yang baik,” katanya.

Ditanya mengenai gurauan yang sering diterima berkaitan berat badan, Faizal menganggap perkara tersebut sebagai lumrah anak seni dan memilih untuk memandang dari sudut positif.

“Tidak (ambil hati), perkara biasa. Mereka memang begitu, mungkin sekadar mahu bergurau, saya ambil dari sudut positif sahaja. Siapalah kita untuk menilai orang lain lebih-lebih.

“Apa sahaja yang mereka mahu komen, silakan. Janji apabila tiba masa makan, saya makan, apabila tiba masa menyanyi, saya menyanyi.

“Perkara yang baik kita ambil, manakala komen negatif itu tidak perlu terlalu difikirkan. Cukuplah kita sentiasa bersikap positif,” ujarnya.

Sebelum ini, Syafinaz bertindak menegur secara terbuka semasa memberikan komen mengenai persembahan Faizal di konsert minggu kedua GVF.

Sejak kembali menghiasi program televisyen, kemunculan Faizal dalam GVF sekali gus mengundang semula kritikan umum terhadapnya, terutama bentuk fizikal yang ketara berbeza berbanding sewaktu popular dahulu. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok