PENYANYI Wanna Ali selamat melahirkan cahaya mata lelaki secara pembedahan di sebuah pusat perubatan hari ini.
Berkongsi khabar gembira, ibunya yang juga penerbit, Datuk Ayu Puteh bersyukur proses kelahiran cucu pertamanya dipermudahkan selain tidak menyangka sudah bergelar nenek.
“Alhamdulillah, macam tidak percaya tetapi ini kenyataan.
Wanna selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.7 kilogram (kg) pada waktu subuh tadi secara pembedahan,” katanya dalam Instagram hari ini.
Menurut Ayu lagi, dia berterima kasih atas semua doa yang dititipkan buat anak dan cucunya.
“Saya orang yang paling gembira.
Terima kasih saudara-mara dan kawan-kawan saya, kawan-kawan suami dan Wanna yang mendoakan,” katanya lagi.
Terdahulu, Wanna atau nama penuhnya Nor Syazwana Mohd Ali, 29, mendirikan rumah tangga dengan Khairil Amri pada 9 Februari 2025 dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor. – HIBGLAM
