63
IBADAH korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dilakukan pada Hari Raya Aidiladha dan hari Tasyriq iaitu 11,12 dan13 Zulhijjah.
Lazimnya, di negara kita acara penyembelihan ternakan korban ini dilakukan di masjid, surau, padang awam, balai raya ataupun rumah persendirian.
Usahawan selebriti terkenal, Neelofa juga tidak ketinggalan apabila melaksanakan ibadah itu di pusat penyembelihan di Pulau Nyatoh Jugra, Banting baru-baru ini.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, ibadah korban sewajarnya menjadi amalan umat Islam tidak kira muda mahu pun yang sudah berusia.
“Laksanakanlah ibadah korban walaupun sedikit kerana ganjaran pahalanya tinggi di sisi Allah SWT.
Jika mampu berkorbanlah seekor lembu.Jika tidak mampu korbanlah satu bahagian.
“Tidak kira umur kita muda atau berusia.Selagi mana kita mampu untuk menabung kita peruntukkan sedikit tabungan untuk ibadah korban,”katanya ketika ditemui di Pusat Penyembelihan Haiwan Ternakan milik ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Muhammad Faiz Harol Isam di Pulau Nyatoh Jugra.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor berkata,ibadah korban telah lebih sedekad dilaksanakannya dan sudah menjadi acara tahunan bagi dirinya.

Neelofa (tiga dari kiri) bergambar bersama peserta-peserta korban.
Neelofa yang juga merupakan usahawan tudung jenama Naelofar berkata,tahun ini sebanyak 10 ekor lembu diperuntukkan untuk ibadah korban melalui syarikatnya TheNoor.
Menerusi syarikat saya, TheNoor ini merupakan tahun kelima ibadah korban dilaksanakan.
Untuk tahun ini kali pertama saya berkoloborasi dengan Syarikat EZ Qurban. Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak EZ Qurban untuk proses membahagi-bahagikan daging korban hari ini,”ujarnya.
Mengulas kerjasama dengan EZQurban Neelofa berkata, koloborasi tersebut melibatkan penggunaan aplikasi (app) bagi memudahkan sesiapa yang ingin melaksanakan ibadah di hujung jari sahaja.
Tambahnya lagi,sesiapa ingin mendaftar untuk ibadah korban boleh menggunakan app TheNoor dan memilih perkhidmatan EZQurban untuk uruskan ibadah korban dari awal di peringkat memilih haiwan ternakan hingga pengagihan. – HIBGLAM