45
Semakin mendekatkan diri dengan Tuhan dan tidak mengabaikan solat, pelakon Nadiya Nisaa bagaimapun mengakui sukar untuk menjaga wuduk lebih-lebih lagi semasa menjalani penggambaran.
Dalam masa sama, Nadiyya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 40, juga seboleh-bolehnya mahu solat awal waktu agar tidak menyusahkan produksi dan pelakon lain.
Antara cabaran ketika penggambaran adalah mengekalkan wuduk supaya saya boleh solat seawal waktu.
“Tak ganggu jadual penggambaran,” katanya dalam InstaStory.
Pelakon filem Cun! itu turut berkongsi cara yang diamalkan bagi menjaga wuduk sepanjang menjalani penggambaran.
“Antara kaedah digunakan adalah jurusolek bersarung tangan dan jaga penjarakan dengan bukan muhrim.
Selain itu, minum air sikit-sikit supaya tak kerap ke tandas dan buat hal sendiri dalam bilik yang disediakan.
“Akhirnya, doa supaya dipermudahkan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Nadiya pernah meluahkan hasrat untuk meninggalkan industri seni kerana hatinya mula lelah dengan naskhah yang seakan-akan berputar dalam konteks sama.
Namun, niat tersebut terpaksa ditangguhkan kerana yakin masih ada naskhah berkualiti yang membuka ruang untuk dirinya berkarya. – HIBGLAM