Bukan hidup nak lawan siapa terpaling ‘humble’ – Intan Najuwa

PELAKON Datin Intan Najuwa mengakui rimas dan serabut apabila namanya sering dijadikan bahan perbandingan dengan selebriti lain terutama dalam soal sikap dan gaya hidup.

Menerusi ciapan dalam platform Threads, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, menegaskan dirinya tidak berminat terlibat dalam sebarang bentuk persaingan, apatah lagi untuk hidup sekadar meraih pengiktirafan orang luar.

“Boleh tak awak semua (netizen) berhenti memetik nama saya dalam perbandingan dengan orang lain? Saya hanya di sini melakukan perkara saya sahaja.

Menjalani kehidupan terbaik saya tanpa sebarang persaingan. Jika apa yang saya kongsikan mengganggu awak, unfollow saja saya. Saya hanya jalani kehidupan saya tanpa mencuba menggembirakan sesiapa.

“Bukan nak hidup lawan siapa yang terpaling humble. Maaf tetapi semua ini agak menjengkelkan,” katanya.

Dalam ruangan balas kepada pengguna lain, pelakon Tuan Danial itu turut menekankan segala pencapaian dan gaya hidupnya kini hasil kerja keras sendiri tanpa menyusahkan sesiapa.

“Saya kecil-kecil tak dimewahkan pun. Ibu dan bapa sangat-sangat strict. Tapi bila saya dah besar dan bekerja, saya kerja keras.

Belajar dan kerja sungguh-sungguh nak dapatkan apa yang saya dapat sekarang. Saya tak pernah kacau orang pun. Saya hanya jalani kehidupan saya seperti mana saya mahu.

“Takkan nak kena ikut hidup orang lain. Masing-masing ada cara masing-masing kot,” ujarnya.

Berjalan atas usaha dan kerja keras sendiri, ibu kepada seorang cahaya mata itu tidak pernah mengambil kisah taraf hidup sesiapa, malah berkawan dengan semua tanpa memilih status.

Saya tak pernah kisah pun fasal taraf hidup, siapa dia siapa ini. Dengan semua orang saya kawan. Dengan semua orang saya tegur. Siapa pernah jumpa saya, dia tahu la macam mana saya dekat luar.

“Tapi tu la kenapa eh ramai nak bandingkan itu ini, padahal saya hanya jalani kehidupantanpa kacau orang. Macam pertandingan pula,” luahnya.

Terdahulu, Intan kerap dibandingkan netizen dengan pelakon Atikah Suhaime yang didakwa lebih merendah diri meskipun hidup mewah.

Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga dengan Datuk Ahmad Azraf Azman pada 18 Ogos 2023.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Imane Lunara, pada 15 Disember lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok