PEMINAT teater dan seni persembahan tanah air bakal disajikan dengan empat naskhah pelbagai genre menerusi pembukaan The Studio di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway City Kuala Lumpur, bermula hari ini.
Pengarah JCPAC, Melissa Teoh berkata, kewujudan The Studio melengkapkan ekosistem seni persembahan di pusat berkenaan, selain menjadi platform kepada penggiat seni untuk menguji idea baharu dan mengembangkan bakat.
Ruang berkonsepkan black box berkapasiti 150 penonton itu diwujudkan bagi memberi peluang kepada pengkarya mengetengahkan persembahan lebih fleksibel, eksperimental dan dekat dengan audiens.
“JCPAC bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi simbol keyakinan terhadap cerita, suara, ekspresi dan bakat anak Malaysia.
“Di sini, kreativiti penggiat seni tempatan disatukan, diraikan dan diketengahkan di bawah satu bumbung yang kekal, bertaraf dunia dan milik sebenar kita,” katanya.
Menurut Melissa, kemudahan berkenaan turut membuka lebih banyak ruang kepada pengkarya untuk bereksperimen dalam suasana pementasan yang lebih intim dan akrab dengan penonton.
Membuka tirai The Studio hari ini ialah pementasan solo FORK IT arahan dan lakonan Gavin Yap yang tampil dengan pendekatan baharu selepas dua versi terdahulu mencetuskan fenomena di Bobo KL.
Menggabungkan elemen autobiografi dan fiksyen, Gavin membawa penonton menyelami identiti seorang lelaki berdarah campuran di Malaysia menerusi kisah yang berkisar tentang makanan dan kenangan di meja makan.
“Bukan semua cerita dalam pementasan FORK IT berkisar mengenai saya. Ada cerita autobiografi dan kisah fiksyen contohnya menyentuh sejarah menu Hainanese Chicken Chop,” ujarnya.
Gavin menyifatkan FORK IT sebagai naskhah yang lahir secara organik daripada pengalaman hidupnya, selain percaya kisah yang diketengahkan mampu dekat dengan masyarakat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Menyusul pada 18 September adalah karya finalis Hadiah Pulitzer, Sarah Ruhl, Eurydice, arahan Ghafir Akbar pula yang mengangkat semula mitos klasik Yunani mengenai Orpheus dan Eurydice daripada perspektif watak wanita.
Menerusi lakonan Vinna Law sebagai Eurydice dan Terence Swampillai sebagai bapanya, naskhah tersebut menyelami konflik emosi seorang wanita yang terperangkap antara cinta terhadap Orpheus dan kasih sayang terhadap bapanya di alam penuh kenangan.
“Berbanding pementasan sama yang sering mengagungkan kembara Orpheus, pementasan Eurydice kali ini mengangkat perjuangan, identiti dan hubungan emosi wanita tersebut,” kata Ghafir.
Pementasan itu turut menampilkan tiga nama besar teater tanah air, Jo Kukathas, Anne James dan Sukania Venugopal sebagai trio dari alam ghaib.
Kalendar The Studio diteruskan dengan The Failed Romances yang dijadual dipentaskan pada 12 hingga 15 November depan, mengetengahkan kisah percintaan yang tidak berakhir seperti diharapkan serta sisi realiti hubungan manusia.
Satu lagi naskhah adalah, Thrown, mengambil alih pentas dari 19 hingga 29 November dengan mengetengahkan persoalan identiti, memori dan trauma zaman kanak-kanak.
Selain The Studio, JCPAC turut menyediakan The Grand Theatre, auditorium utama berkapasiti 1,200 penonton bagi pementasan berskala lebih besar.
Tiket bagi persembahan di JCPAC boleh didapati secara dalam talian menerusi platform CloudJoi. – HIBGLAM
