‘Age gracefully’, tiada kitab yang tua jadi muda

Sering dipuji kelihatan muda, pelakon Marissa Yasmin bersyukur dengan kurniaan Allah walaupun sudah menghampiri garis usia 50 tahun.

Percaya dengan kecantikan alami, Marissa atau Marissa Yasmin Mariam Yaakob, 48, mengakui melalui fasa peralihan umur tanpa perlu mengubah wajah menerusi pembedahan.

“Alhamdulillah, rezeki Allah bagi. Saya tetap beruban dan ada kedut pada wajah tetapi pegangan saya mudah nak ‘age gracefully’ (menua dengan anggun).

“Tidak ada di mana-mana kitab kalau tua akan jadi muda. Sudah semestinya boleh buat pembedahan tetapi bagi saya kenapa nak ‘against the clock’.

“Kadang-kadang saya was-was orang kata saya muda sebab saya tahu saya tua. Seperti yang semua lihat, cara saya berpakaian dan bergerak, memang mengikut gaya Marissa Yasmin,” katanya kepada Kosmo! Online semasa pelancaran drama Viu Pabila Dia Tersenyum, baru-baru ini.

Tidak lokek berkongsi amalan, pelakon drama Jadikan Aku Bidadari itu menitipkan pesanan agar menjaga kuantiti pemakanan untuk mengekalkan badan yang sihat.

“Benda saya nak kongsi kepada umum, makan semua makanan tetapi dalam kuantiti yang sikit. Kalau sukakan gula, ambillah tetapi selepas itu jangan makan nasi banyak.

“Kena seimbangkan, banyakkan makan sayur dan buah. Tidak mahu kata tak boleh makan itu ini sebab sistem badan kita Allah dah buat cantik.

“Kita kena makan semua benda sikit-sikit. Kadang orang kata tidak boleh makan telur sebab ada kolestrol tetapi telur banyak nutrisi,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, setiap individu juga perlu menjaga waktu tidur dengan baik supaya mampu mendapatkan berat badan ideal.

“Badan kita ada hormon, 10 malam sehingga 4 pagi adalah waktu cantik untuk tidur kerana hormon nak ubah suai badan.

“Kalau tidak tidur dalam masa tersebut, badan kita akan simpan lemak dan menyebabkan berat badan kita bertambah.

“Allah dah cipta badan kita cantik, kita sahaja yang gatal tidak tidur ikut masa,” ujarnya.

Sebelum ini, penampilan Marissa semasa mempromosikan drama fenomena Walid mencuri tumpuan kerana dipuji tampak muda dan cantik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok