‘Awalnya, saya takut nak kembali jadi antagonis’

KETIKA ramai pelakon baharu bangga menyerlahkan kredibiliti watak antagonis, lain pula yang berlaku pada Shaheizy Sam apabila sudah 15 tahun tidak menggalas peranan tersebut.

Tidak mengetahui punca namanya seperti disisihkan daripada diberikan watak sebegitu, aktor berusia 43 tahun itu berkata, rezekinya sebelum ini lebih kepada karakter komedi dan drama.

Namun, dia kembali mengundang kebencian ramai apabila muncul dengan watak antagonis sebagai Datuk Bakri dalam filem arahan terbaharu Adrian Teh iaitu Chelot.

Ikuti temu bual HibGlam bersama pemilik nama penuh Shaheizy Sam Abdul Samad yang berkongsi mengenai cabaran watak antagonis dan perjalanan kerjaya seninya ketika ini.

HIBGLAM: Apa yang membuatkan anda menerima watak Datuk Bakri selepas sedekad tidak memegang karakter sebegitu?

SHAHEIZY: Ketika Adrian tawarkan, hati saya berbelah bahagi sebab rasa macam sudah tua, tetapi selepas dia kongsi jalan cerita, terus fikir saya perlu terlibat untuk filem ini.

Jalan cerita sangat bagus, lebih-lebih lagi sudah lebih 10 tahun tidak bawa watak macam ini, rindu juga.

Kemudian, tugas karakter jahat tidak sebesar dengan watak utama dan tak perlu ambil tanggungjawab untuk mengangkat keseluruhan filem.

Mengapa kurang ditawarkan watak antagonis dalam tempoh yang lama? Adakah Sam cerewet memilih karakter dan naskhah?

Memilih karakter itu memang sudah lama saya lakukan sebab nak beri kualiti kepada penonton.

Tetapi adakalanya saya banyak tolak watak aksi kerana persiapannya ambil masa lama, perlu latihan berbulan-bulan, pergi gimnasium untuk dapatkan bentuk badan yang sepatutnya dan berlatih babak aksi.

Setahun meninggalkan watak jahat, adakah Sam rasa bimbang sekiranya tidak mampu menggalas tanggungjawab itu dengan baik?

Pada awalnya, takut juga nak kembali jadi antagonis sebab perlu perlahan-lahan cari semula sisi jahat.

Tambahan pula, saya pengkritik yang sangat hebat pada diri sendiri, jadi banyak jugalah berfikir.

Cuma kalau ada tawaran watak jahat lagi, saya okey saja untuk terima. Bagi saya, kejahatan ada banyak jenis dan macam-macam yang kita boleh teroka.

Adakah watak-watak komedi, drama dan aksi seperti dalam filem Adnan Sempit serta Polis Evo terlalu ‘melekat’ pada anda dan menjadi sebab kurang ditawarkan karakter antagonis?

Sebenarnya itulah lumrah di industri Malaysia. Bila seseorang berlakon komedi dan menjadi, orang akan sentiasa guna dia untuk karakter sama sehingga dilabel sebagai pelawak. Begitu juga dengan watak hero.

Pengarah atau penerbit kadang-kadang takut nak bawa pelakon ke dunia yang berbeza. Sejak Adnan Sempit, orang dah suka imej ‘good boy’ itu dan sehingga hari ini masih melekat.

Impak Polis Evo juga sangat besar, sebab itu saya cuba lari sikit pergi ke filem seperti Badak dan La Luna supaya orang tak nampak sebagai pelakon aksi semata-mata.

Bagi pendapat anda yang sudah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak kecil, adakah budaya tersebut menyekat peluang pelakon ‘explore’ pelbagai jenis karakter?

Realitinya, saya lebih suka berlakon filem yang ada jiwa dan kalau boleh mahu digelar sebagai pelakon versatil.

Namun, budaya di Malaysia berbeza dengan luar negara. Di Hollywood, Tom Cruise yang sudah berumur 60 pun masih jadi hero.

Tidak salah beri peluang kepada semua pelakon cuba pelbagai watak termasuk aktor senior. Bila disekat, keseimbangan itu akan hilang.

Sudah lama tidak melihat kelibat anda dalam naskhah televisyen, adakah sudah meninggalkan dunia drama dan lebih mengutamakan filem?

Ya, memang sudah lama tidak berlakon drama. Kali terakhir adalah sekitar tiga tahun lalu.

Berlakon drama ini tak sama macam filem yang pelakonnya perlu ada kekuatan mental, fizikal dan emosi.

Ini kerana mereka perlu habiskan 20 hingga 30 babak sehari berbanding filem yang maksimum hanya lima adegan satu hari. Sepertinya saya sudah tak mampu nak buat macam itu lagi.

Mungkin boleh kongsi mengenai perkembangan rancangan anda yang bakal memulakan bisnes kedai makan tidak lama lagi.

Sekarang kerjaya seni sudah tak aktif macam dulu sebab akan membuka sebuah restoran di Glenmarie, Shah Alam.

Sejak kecil memang minat memasak sampai ada impian nak buka warung belakang rumah. Insya-Allah, restoran ini akan dibuka tidak lama lagi.

Ketika ini rasa hidup lebih tenang dan ada lebih banyak masa dengan keluarga. 

Kerja berlakon sangat penat, dari pagi sampai tengah malam di set penggambaran dan bila balik rumah anak-anak pula sudah tidur.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok