Tuah anak selebriti, lahir atas dulang emas

BERDEPAN tempias kemasyhuran ibu bapa sebaik dilahirkan, walau bukan dalam kalangan penggiat seni Hollywood apatah lagi selebriti kelas A, masing-masing tetap menikmati kesenangan luar biasa.

Mempunyai pemandu peribadi, jururawat khas, pengasuh terlatih selain berpeluang bercuti di serata pelosok dunia, hakikatnya mereka dilahirkan atas dulang emas.

Andai era lalu segala gerak geri mereka hanya dapat diintai menerusi lensa paparazi, kini semua foto mahu pun video rutin harian golongan keluarga tersohor ini dapat diikuti dari laman sosial.

Biarpun perkongsian foto dalam medium maya bagi sebilangan artis bukan bertujuan untuk bermegah, gaya kehidupan mereka yang seumpama bangsawan dapat dikesan. Bukan hanya personaliti tersohor Hollywood, anak selebriti di rantau ini, termasuk Malaysia dan Indonesia tetap berada dalam radar netizen.

Harper Bechkam

SEBAGAI anak bongsu David Beckham dan Victoria Beckham, Harper, tentu sahaja seluruh perhatian keluarga tertumpu kepada Harper yang kini berusia 11 tahun.

Posisi sebagai puteri tunggal daripada empat bersaudara dalam keluarga berpengaruh itu menjadikan remaja terbabit sebagai kesayangan.

Bahkan ibunya juga anggota Spice Girl atau digelar Posh Spice, Harper sentiasa didahulukan dalam setiap perkara.
Kasih Bechkam itu dizahirkan menerusi sebuah karya lukisan daripada artis terkenal yang melakar motif berupa tanda cinta seorang ayah kepada anaknya.

Beckham dilaporkan meminta pelukis itu menghasilkan karya yang dipanggil Daddy’s Girl untuk anak perempuannya yang ketika itu berusia setahun.

Difahamkan, lukisan tersebut menggambarkan lakaran berupa hati yang besar dengan dilengkapkan seekor rama-rama.

North West

KETIKA kelahiran anak sulungnya pada 15 Jun 2013, Kim Kardashian dan Kanye West yang kini sudah bercerai memberikan kemewahan berganda buat si kecil, North West dengan barangan berjenama.

Seiring perkembangan usia, gadis kecil itu kini bukan hanya sudah merakamkan album solo pertama, bahkan memperoleh apa sahaja yang diingini. Barangkali hadiah berupa barangan daripada rumah fesyen atau melancong sudah terlalu biasa, pada ulang tahun keenam, Kim dan Kanye menyerahkan satu pemberian istimewa.

Pasangan terbabit membelanjakan hampir RM300,000 untuk mendapatkan salah satu koleksi jaket mendiang Raja Pop, Michael Jackson sebagai hadiah Krismas.

Menurut Kim yang juga sosialit tersohor, ketika berusia enam tahun, North terlalu menyukai Michael Jackson. North kini berusia 11 tahun, memiliki deretan tas tangan mewah bernilai jutaan ringgit.

Areesya Malaykha

ANTARA keluarga selebriti yang meraih tumpuan peminat adalah bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim, wanita itu dilihat menjalni hidup bahagia dan sempurna.

Bersama suaminya, Fairos Khan Abdul, mereka dikurniakan dua permata hati, iaitu Areesya Malaykha, 6, dan Atheera Medinah, 4.

Selepas kelahiran puteri sulung, pasangan terbabit mengadakan majlis kesyukuran di sebuah hotel dengan dekorasi taman tema.

Pelbagai permainan ‘indoor’ termasuk ‘merry go round’ menjadi tumpuan malah ramai memuji pilihan dekorasi untuk majlis berkenaan.

Bagai kisah Alice in Wonderland, pengguna laman sosial turut menyamakan suasana acara terbabit dengan filem Crazy Rich Asian.

Terdahulu, Azrinaz sebelum ini pernah menjadi isteri Sultan Brunei pada 2005, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama lima tahun.

Bersama Sultan Brunei, bekas wartawan penyiaran itu dikurniakan sepasang permata hati, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 19, dan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 17.

Ameena Hanna Nur Atta

Ameena Hanna Nur Atta merupakan puteri sulung pasangan sensasi, Atta Halilintar dan Aurel Hermansyah yang sememangnya terkenal dengan kemewahan.

Ketika baru dilahirkan pada Februari 2022, Ameena menjalani sesi fotografi dengan tema jenama mewah Hermes iaitu tubuh diletakkan di atas kotak Hermes berwarna jingga.

Mengenakan reben yang menghiasi kepalanya, Ameena tampak seperti duta kecil tas yang boleh mencecah harga ratusan ribu ringgit.

Ketika usianya genap dua tahun, cucu penyanyi Krisdayanti itu diberikan hadiah berupa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) buat si kecil.

Hadiah tersebut dikatakan bapanya, Atta juga pempengaruh terkenal sebagai pelaburan jangka panjang untuk digunakan anaknya.

Hingga kini kedua-dua puteri comel itu mendapat sepenuh perhatian daripada seluruh ahli keluarga termasuk datuk mereka yang juga penyanyi, Anang Hermansyah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok