Tak jadi pilih Indonesia, Merdeka 118 penuhi kriteria produksi Thunderbolts

INDONESIA hampir menjadi lokasi penggambaran filem terbaharu Marvel, Thunderbolts sehinggalah dipintas Malaysia pada saat akhir yang memiliki lebih banyak menara pencakar langit tinggi dan canggih termasuklah, Merdeka 118.

Pengarah Thunderbolts, Jake Schreier berkata, salah satu menara di Indonesia telah dipertimbangkan, namun menara terbabit kurang tinggi daripada Menara Merdeka 118 yang terletak di Kuala Lumpur, Malaysia.

Kami sebenarnya akan (hendak melakukan penggambaran di Indonesia). Ada menara yang dipertimbangkan di sana.

“Tetapi sayangnya (menara) Malaysia lebih tinggi dan kami sangat ingin pergi ke menara tertinggi di dunia,” kata Schreier dalam satu temu bual bersama portal, Kumparan.

Dalam babak awal Thunderbolts, watak utama Yelena Belova yang dilakonkan Florence Pugh melakukan terjunan dari Menara Merdeka 118.

Tambah Schreier, penggambaran di menara setinggi lebih 2,000 kaki itu sejajar dengan komitmen mereka untuk menjadikan Thunderbolts kelihatan lebih nyata.

Saya rasa ada komitmen dalam filem ini untuk melakukan sesuatu yang nyata dan memanfaatkan elemen praktikal.

“Kami mempunyai konsep itu, kami boleh melakukannya secara nyata. Sama seperti aksi filem Bond tetapi dalam versi kami yang lebih emosi,” katanya lagi.

Shreier memaklumkan visual Menara Merdeka 118 sesuai dengan latar filem itu yang berpusat pada kisah adiwira Marvel yang gelap.

Pereka produksi menyukai menara ini (Merdeka 118) dan ada kaitan secara estetik dengan filem kami kerana gelap, anggun dan minimalis dalam pelbagai cara,” ujarnya lagi.

Mula ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 1 Mei 2025, Thunderbolts menjadi filem ke-36 dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).

Selain Florence Pugh, filem tersebut turut dibintangi Lewis Pullman, David Harbour, Sebastian Stan, Geraldine Viswanathan dan Olga Kurylenko.

Thunderbolts kini mendapat rating cemerlang rata-rata pengkritik filem dengan markah 88 peratus (Tomatometer) di Rotten Tomatoes. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok