Seniwati legenda Noor Azizah sudah tiada

SENIWATI legenda, Datin Noor Azizah Azizul Hassan memghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarga di Ipoh, Perak pada pukul 3 pagi tadi.

Khabar duka itu disahkan adiknya, Puteh Zabidah yang memaklumkan pada awalnya Allahyarham mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

Kakak saya sudah menjalani dialisis sejak setahun lalu tetapi keadaan kesihatannya masih terkawal, cuma pagi tadi beliau susah bernafas.

“Kami menghubungi ambulan dan pasukan perubatan yang memberikan bantuan dan pemeriksaan. Namun Allah lebih sayangkannya,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Difahamkan arwah yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pulang ke Ipoh, Perak semalam untuk berhimpun seisi famili bersempena sambutan Syawal.

Malah kenalan rapat memaklumkan mereka sekeluarga turut meraikan kepulangan seorang adik arwah yang menetap di luar negara.

Sebelum ini bintang popular yang melangkah ke arena lakonan menerusi filem Dayang Senandong terbitan tahun 1965 itu menghidap masalah buah pinggang.

Jenazah Noor Azizah yang memiliki dua cahaya mata akan dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sg Paloh, Ipoh.

Mengimbas kerjaya lakonan, Allahyarham pernah membintangi filem Enam Jahanam arahan Tan Sri P Ramlee pada 1969 yang melonjakkan lagi nama beliau di arena hiburan.

Selepas muncul dengan lima filem termasuk Dr. Rushdi, dua tahun kemudian beliau ditawarkan beraksi dengan dua produksi Indonesia berjudul Jangan Kau Tangisi dan Malim Kundang bersama aktor tersohor, Rano Karno.

Bakat Noor Azizah juga menarik minat syarikat penerbitan siri televisyen Australia yang menawarkannya membawakan watak Dr. Susan Lim dalam Bailey’s Birds (1977).

Terdahulu, penyertaan Allahyarham dalam dunia perfileman berlaku secara kebetulan ketika melawat Studio Jalan Ampas di Singapura.

Kejelitaannya meraih perhatian pengarah, Datuk Ahmad Mahmud yang kemudian menawarkannya membintangi filem Dayang Senandong sebagai pelakon tambahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok