41
TUMPANG gembira, pendakwah PU Riz bersyukur dengan kebahagiaan dikecapi abangnya, Dr. Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail sebaik bergelar suami kepada penyanyi, Aisyah Aziz.
PU Riz atau nama sebenarnya, Haris Ismail mengakui mengagumi keperibadian abangnya sehingga menjadikan lelaki tersebut sebagai contoh dalam melayari kehidupan.
“Bahagia selamanya untuk abang saya, Dr. Amir dan Aisyah Aziz. Dari waktu akad dilafazkan sehinggalah saat kepulangan kami sekeluarga ke Malaysia, apa yang sempat saya lihat adalah bahagia seorang abang bersama teman hidupnya.
“Semoga tuhan menjadikan perasaan ini sebagai tajuk hidup kalian berdua, insya-Allah.
“Adik panjatkan doa selamanya Allah lahirkan mawaddah, rahmah dalam percintaan hubungan rumah tangga kalian,” katanya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian sama, suami kepada usahawan selebriti Neelofa itu mengungkapkan perasaan sayang buat saudara kandungnya menggunakan perkataan yang selalu dilafazkan anak sulungnya, Muhammad Bilal.
“Seperti Bilal selalu ucapkan dikala dipeluk dan digomol ‘I love you to the moon and back’, kini adik guna terma yang sama pada kalian berdua,” ujarnya.
Terdahulu, pada Jumaat minggu lalu, Aisyah sah bergelar isteri kepada Dr. Amir dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di sebuah masjid di Singapura.
Pernikahan penyanyi terbabit dengan Dr. Amir menjadikan penyanyi tersebut sebagai biras kepada Neelofa. – HIBGLAM.