GERAKAN RM100 juta Blood Brothers: Bara Naga barangkali bikin seram sesetengah penerbit, pengarah mahupun pelakon yang karya panggung mereka baru hendak masuk ‘gear’ bergetar mahu mengheret khalayak ke pawagam.
Hendak mengharapkan serbuan gila-gila semua itu tuah, sebagai pengkarya, berbekalkan resipi terbaik sudah masak, timbul tenggelamnya sesebuah filem, penonton berkuasa penuh.
Sebagai pengarah, saya kena percaya, biarlah filem bercerita. Saya sudah bercakap selama dua jam (menerusi visual filem), sekarang tunggu respons,” kata Feroz Kader, pengarah berusia lewat 40-an yang tidak menafikan berdebar hendak mendengar ulasan atau kritikan umum terhadap filem Balas Balik yang akan masuk panggung hujung bulan ini.
Kaki wayang mungkin kurang mesra dengan sentuhan Feroz selaku pengarah naskhah layar lebar, namun di gelanggang skrin televisyen, namakan sahaja, kisah bagaimana yang tidak dihadaminya.
Menanyakan tentang antusiasinya dalam pembikinan filem, Feroz bukan dalam kelompok pengarah dengan impian bajet mega – filem harus ada tembakan berdentam-dentum, letupan kereta atau bangunan serta babak pertarungan hidup mati, namun filem berpaksikan cerita.
Baginya, cerita harus ada makna, warna dan memberi rasa, sama ada seronok atau resah, marah atau nyaman, menginsafkan atau barangkali juga sedikit kesedaran untuk dibawa pulang. Itu yang cuba digarap menerusi Balas Balik yang bakal ditayangkan pada 29 Mei ini.

UNTUK penonton yang tidak puas menyaksikan Shukri Yahaya dalam Blood Brothers, kalian masih ada Balas Balik untuk balas dendam.
Menampilkan aktor popular, Shukri Yahaya sebagai penggerak naratif, Balas Balik menjadi naskhah filem ketiganya selepas mencuri kelainan menerusi Seratus yang ditayangkan pada 2022.
Daripada Seratus sebuah karya dengan plot penuh bersilang emosi resah, Balas Balik hadir dengan sebuah penyiasatan bergaya. Seorang detektif khas, Detektif Zul (Shukri Yahaya) ditugaskan menyelesaikan ‘puzzle’ penyiasatan kes kematian mengejut seorang CEO.
Bukan filem kepolisan yang sering ada di pasaran, Sheriff atau Polis Evo, Balas Balik muncul dengan genre penyiasatan jenayah, membawa bersama nilai saspens dan dramatik sebagai taruhan.
Bila filem genre begini, story line (cerita) sangat penting. Kami fokus dalam penghasilan skrip. Tiga bulan juga kami ambil masa, berbincang dan tulis.
‘Penerbit mahukan kelainan dan saya pun suka. Dari awal, Balas Balik memang asalnya filem bukan drama,” kata Feroz yang pernah menghasilkan Mr. Perfect 10.
Untuk Balas Balik, banyak unsur digabungkan. Masih ada elemen komersial, bukan ‘dark movie’ atau ‘art house’ filem.
“Penonton boleh hubung kait konsep sebegini dengan filem-filem penyiasatan Hollywood. Kami kena pastikan setiap babak ada motif supaya penonton kekal dalam momentum ingin tahu sehingga bertemu jawapan di hujung cerita.
Nak kekalkan adrenalin, rasa ingin tahu sepanjang cerita dan babak-babak itu sangat penting. The hidden point perlu kemas.
“Kalau cerita hantu kena ada ‘jumpscare’, filem ini terletak kepada nilai saspens. Itu yang jadi hook (kata kunci) yang pegang, gam perhatian penonton sampai habis. Penonton kena seronok,” katanya yang tetap menerapkan mesej dalam berkarya.
Seperkara lagi, Balas Balik tidak hanya fokus kepada watak utama, Detektif Zul.
“Ada banyak watak lain yang turut diberi penekanan, semua ada motif dan karakter mereka harus dikeluarkan,” katanya.

FEROZ di lokasi penggambaran Balas Balik.
Diterbitkan Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd., Balas Balik akan melilau mencari jawapan apabila seorang CEO sebuah syarikat telekomunikasi, Datuk Roslan (Tony Eusoff) ditemui mati di pejabatnya sendiri.
Mulanya diklasifikasikan kes bunuh diri, Detektif Zul yang mengetuai siasatan menemui petunjuk yang mendorongnya menyiasat semua kakitangan syarikat tersebut termasuk ahli keluarga yang mempunyai motif untuk membunuh pegawai tertinggi itu.
Satu demi satu jawapan terungkai sehingga akhirnya menemui kebenaran yang mengejutkan.
Filem dengan barisan pelakon hebat seperti Shukri Yahaya, Tony Eusoff, Marisa Yasmin, Zarul Umbrella, Adam Lee, Meor Mohd, Razman Mahayudin, Josiah Lim dan Maisara Sufia tersebut bakal menggeledah ruang panggung bermula 29 Mei nanti. – HIBGLAM