KALAU di Malaysia, trend pempengaruh mahupun pelawak mengisi jawatan di konti radio sebagai deejay atau penyampai radio kian menjalar.
Sebagai contoh personaliti TikTok, Arieff Yong bergelar penyampai radio Fly FM, manakala stesen radio Sinar FM kini menerima deejay baharu iaitu Sharifah Shahirah yang sebelum ini cukup dikenali sebagai seorang hos atau pengacara.
Di Hollywood, ramai penyanyi atau pemuzik berasakan terjun ke dalam dunia pengacaraan sebagai satu langkah ‘durian runtuh’.
Mengemudi rancangan sendiri, mereka bebas untuk mengomel tentang apa isu sekalipun selain mudah mendapat endorsement atau validasi daripada khalayak.
Sehubungan itu, HibGlam merangkumkan lima pemuzik yang membina nama dengan menjadi pengacara program bual bicara sendiri yang mendapat tempat di hati peminat.
- KELLY CLARKSON
Merupakan pemenang program realiti American Idol musim pertama, Kelly, 43, kini mengacarakan program bual bicara The Kelly Clarkson Show yang mula bersiaran pada 2019. Biarpun disifatkan antara vokalis terhebat Hollywood, itu tidak menghalang pelantun lagu Because Of You itu melestarikan impiannya bergelar pengacara berkaliber. Program tersebut yang sudah bersiaran selama enam musim memenangi banyak trofi termasuklah Daytime Emmy Awards menerusi kategori Program Bual Bicara Terbaik.
- JENNIFER HUDSON
Berbanding program dikemudi Kelly, The Jennifer Hudson Show mula diluncurkan sekitar 2022 dan kini menjadi antara program yang banyak ditonton di Amerika Syarikat. Dilabel sebagai antara alumni American Idol paling berjaya, Jennifer membuktikan selain hebat di pentas nyanyian, lakonan dan broadway, dia juga cemerlang dalam satu lagi sifir seni iaitu pengacaraan. Setakat ini, The Jennifer Hudson Show sudah dicalonkan dalam banyak anugerah termasuk Daytime Emmy Awards, namun belum berjaya membawa pulang sebarang trofi acara berprestij tersebut.
- FRANK SINATRA
Merupakan antara bintang legenda dunia, Frank Sinatra pernah mengacarakan program bual bicara The Frank Sinatra Show yang hanya bersiaran selama setahun. Program terbabit yang ditayangkan menerusi stesen televisyen ABC mula ke udara pada 18 Oktober 1957 dan mengucapkan selamat tinggal kepada peminat melalui episod terakhir pada 27 Jun 1958. Walaupun singkat, tiada siapa dapat menyangkal bakat versatil Sinatra sebagai bintang yang tiada galang gantinya.
- QUEEN LATIFAH
Queen Latifah memulakan langkah sebagai bintang hip-hop pada 1988, namun mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan sekitar 1999 menerusi The Queen Latifah Show. Program dikemudi Latifah yang cukup dikenali menerusi lagu Ladies First itu merangkumi temu bual selebriti, persembahan muzikal, perbualan budaya pop dan kerja amal figura tersebut di serata dunia.
- HARRY CONNICK JR.
Baru berdurasi dua musim, Harry Connick melengkapkan senarai antara pemuzik yang berjaya mencipta nama dalam dunia pengacaraan. Menerusi program bual bicara berjudul Harry, dia berjaya membuktikan dirinya bukan sahaja pemuzik berbakat tetapi juga bijak berkomunikasi dan pandai ‘menjual’ air liur. Bagaimanapun, rancangan Harry hanya bertahan selama dua musim sebelum dibatalkan produksi televisyen iaitu CBS gara-gara kurang mendapat sambutan