SUSULAN ramai netizen mengkritik cara Keanu Azman dan Raja Azura mengendalikan program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26), pengacara Datuk Aznil Haji Nawawi menasihati orang ramai agar memberi peluang kepada pasangan pengacara itu untuk membina keserasian di atas pentas.
Aznil atau mesra disapa Pak Nil, 63, mengimbas kembali cabaran yang pernah dilalui pengacara Nabil Ahmad sewaktu awal penglibatannya dalam program Big Stage, sebagai bukti proses membentuk pengacara memerlukan masa.
“Nasihat saya bagi ruanglah dan apabila keserasian atau kerjasama ini berjaya, bukankah kita dapat satu ‘udara baharu’ dalam bidang pengacaraan.
“Saya rasa bukankah ini yang kita mahukan? Cuba bayangkan bagaimana Nabil dikutuk di Big Stage.
“Kalau Nabil dengar, ambil kira, merajuk dan berhenti, kita dah hilang seorang pengacara. Jadi bagilah ruang,” katanya semasa majlis perkenalan kumpulan K4LAM, semalam.
Pada masa sama, pengacara program Talk To My Manager (TTMM) itu mengingatkan orang ramai agar tidak sesuka hati membuat spekulasi tentang cara penyampaian yang dibentuk Keanu bersama Raja Azura.
“Mungkin cara mengajar dia (Raja Azura) begitu, kita tak tahu tetapi tak adillah kalau kita yang tak tahu ini nak buat andaian sendiri.
“Percayalah nanti satu hari bila pasangan duo ini ‘menjadi’, awak akan ingat balik apa yang awak kutuk pada episod pertama.
“Apa yang awak kutuk pada episod pertama itu mereka jadikan sebagai motivasi untuk kerja lebih baik,” jelasnya.
Sebelum ini, gandingan Keanu dan Raja Azura dikatakan kurang sesuai kerana disifatkan tidak seimbang sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka dilihat ‘tenggelam.’
Di mata penonton, Keanu bukan sahaja dilihat kekok beraksi bersama Raja Azura, dia juga dianggap tidak melakukan tugasan dengan baik apabila dikatakan gagal menyesuaikan diri dengan konsep program. – HIBGLAM
