[VIDEO] ’10 jam bertarung tanpa henti, sakitnya Tuhan sahaja tahu’

MANTAP dan di luar jangkaan. Pujian tersebut layak ditujukan buat Sharnaaz Ahmad menerusi lakonan hebatnya dalam filem Blood Brothers: Bara Naga yang kini hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Memegang watak sebagai Ghaz, Sharnaaz mengakui tidak pernah terbayang dalam hidupnya untuk memegang karakter sehebat itu.

“Sebenarnya watak ini sangat ekstrem untuk saya dan boleh dikatakan mimpi jadi kenyataan juga untuk menjayakannya.

Saya gaduh dengan dua pengarah iaitu Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra setiap hari, saya akan persoal semua perkara sebab pengarah pun perfectionist.

“Mereka beri dan tulis watak tetapi tugas saya pula untuk hidupkan, pastilah ada banyak perkara untuk dipersoalkan tetapi mereka mampu beri penjelasan yang baik,” katanya selepas tayangan gala filem tersebut baru-baru ini.

Bangga dengan hasil kerja sendiri, pemilik nama penuh Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad itu berkata, setiap babak aksi yang dipamerkan dalam filem tersebut dilakukannya 100 peratus tanpa bantuan stuntman atau body double.

Watak Ghaz dalam Blood Brother juga cetuskan perang dingin antara Sharnaaz dan Shukri Yahaya.

Dia juga menolak untuk berkongsi tentang kecederaan yang dialami kerana merasakan itu merupakan pengorbanan perlu dirasai jika mahukan kesempurnaan.

“Babak fighting sangat perit, hanya kami yang lakukan sahaja tahu beratnya bagaimana.

Bayangkan, penggambaran babak kami berlawan tak berhenti bermula pukul 6 petang, sampai pukul 4 pagi baru berakhir.

“Kalau saya cedera sekali pun, saya akan habiskan juga kerja walau Tuhan sahaja tahu sakitnya macam mana.

Saya lakukan 100 peratus semua babak aksi. Semua pelakon tak terlepas daripada alami kecederaan tetapi kita hadap sebagai lelaki,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai karakternya yang banyak bermain dengan emosi, termasuk menumpahkan air mata jantan, Sharnaaz hanya memberi emosi yang dituntut oleh filem tersebut.

“Kalau kalian cakap Ghaz lelaki maskulin tetapi ada momen menangis dan sebagainya, itu adalah perkembangan watak.

Salah ke lelaki menangis kalau rasa sakit? Ghaz hanya perlu pamerkan kepada khalayak apa yang dia rasa.

“Jadi, kalau kalian persoalkan perkara itu, sebenarnya hati dia yang menangis, bukan mata dia,” ujar Sharnaaz.

Keserasian, ‘hubungan dingin’

Digandingkan dengan Syafiq Kyle dan Shukri Yahaya, anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencari keserasian.

Hubungan baik yang terjalin sejak lama dahulu dengan dua aktor hebat berkenaan membantu dalam pembangunan watak mereka dalam filem tersebut.

“Saya layan Syafiq dan Shukri di luar set pun memang macam adik saya, jadi tiada masalah untuk kami cari keserasian.

Semuanya berjalan dengan baik, mereka pun memang aktor hebat, jadi isu cari chemistry ini bukan masalah besar,” jelasnya.

HUBUNGAN baik dan persahabatan sejak lama membentuk satu ruang untuk Sharnaaz mencapai keserasian bersama pelakon lain seperti Syafiq Kyle dan Shukri Yahaya.

Sharnaaz bagaimanapun mendedahkan hubungannnya dengan Shukri menjadi ibarat ‘hubungan dingin’ adik-beradik selama setahun dek terbawa-bawa karakter masing-masing.

Namun, dia bersyukur ‘jiwa koyak’ antara mereka kembali pulih baru-baru ini.

“Sebenarnya saya dan Shuk tak bercakap selama setahun termasuk sepanjang tempoh penggambaran.

Seperti ada satu perasaan yang tak boleh saya gambarkan dengan kata-kata wujud jiwa masing-masing. Semuanya sebab kami terlampau hidup dalam karakter masing-masing.

“Saya tidak tahu apa dalam hati dia dan dalam otak saya, namun syukurlah hubungan kembali pulih, kami baru bercakap macam biasa pada raya lalu.

“Kalau orang tanya punca, kami pun tak tahu. Ini bukan bergaduh secara peribadi ke apa, ini semua disebabkan terlalu masuk dalam karakter,” kongsinya.

Blood Brothers: Bara Naga terbitan Skop Productions dan Primework Studios sudah mula ditayangkan sejak 10 April lalu di pawagam seluruh negara.

Selain Sharnaaz, Syafiq dan Shukri, filem yang menelan belanja sebanyak RM7 juta itu turut dibarisi Amelia Henderson, Syazwan Zulkifli, Wan Hanafi Su, Adrian Teh, Zamarul Hisham dan Tracie Sinidol. – HIBGLAM

@hibglam.com.my “Saya risau juga dengan Shukri Yahaya sebab dia hero ‘cintan-cintun’ tapi dia berjaya.” Yusof Haslam memuji dan kagum dengan penghasilan filem Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra. Berita penuh layari https://hibglam.com.my #bloodbrothers #filem #syafiqyusof #sharnaazahmad #shukriyahaya ♬ original sound – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok