ISTERI kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi meminta pihak suaminya berhenti memburuk-burukkan dirinya kepada umum seperti yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Afreena atau mesra disapa Feena berkata, dia tidak pernah mengeluarkan sebarangan kata-kata negatif apatah lagi menyebarkan perkara aib mengenai Along dan keluarganya kepada pihak media.
“Saya telah menonton video dan kenyataan pihak mereka yang mendakwa saya bercakap buruk kepada media tentang keluarganya.
Sepanjang kes ini berlaku, saya rasa sikit pun tidak keluarkan mana-mana kenyataan kepada media yang memburuk-burukkan pihak sana.
“Sudah-sudahlah memburuk-burukkan saya kepada media,” katanya dalam Instagram Story.
Dalam pada itu, dia turut menegaskan status rumah tangganya masih lagi terikat secara undang-undang meskipun belum diputuskan secara rasmi mereka sudah bercerai atau sebaliknya.
Ketika ini kami berdua menunggu langkah seterusnya (untuk dokumentasi mengikut undang-undang secara rasmi) kerana kesilapan teknikal pihak plaintif mengisi borang,” ujarnya.

TANGKAP layar perkongsian Afreena yang berharap pihak suaminya berhenti memburuk-burukkanya kepada pihak media.
Kemelut rumah tangga selebriti terbabit membawa kepada permohonan pengesahan lafaz taklik yang disebut di mahkamah Isnin lalu, namun ditunda ke 8 Mei depan berikutan kesilapan Along mengisi dokumen tuntutan.
Ibu kepada Along iaitu Siti Habsah Kadir juga mendedahkan dia tidak bercakap dengan anak sulungnya itu sejak dia berkahwin semula pada tahun lalu dan mendakwa timbul salah faham dalam keluarga mereka yang berpunca dengan kenyataan dikeluarkan Feena. – HIBGLAM