BINTANG legenda England, Tim Curry, meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas lebih sedekad berdepan kesan strok serius.
Curry yang terkenal menerusi watak flamboyan Dr. Frank-N-Furter dalam filem muzikal kultus The Rocky Horror Picture Show itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Toluca Lake, Los Angeles pada 25 Ogos lalu.
Berita pemergian pelakon kelahiran Warrington pada 1946 itu disahkan pengurus merangkap sahabatnya, Marcia Hurwitz.
Curry mula mencipta nama dalam dunia teater selepas mendapat peluang berlakon dalam produksi asal London bagi muzikal rock, Hair pada 1968.
Namanya melonjak menerusi watak Dr. Frank-N-Furter dalam The Rocky Horror Show pada 1973 sebelum menghidupkan karakter sama dalam versi filem dua tahun kemudian.
Walaupun tidak terus mendapat sambutan ketika mula ditayangkan di pawagam, The Rocky Horror Picture Show akhirnya berkembang menjadi fenomena budaya pop dan kekal sebagai antara filem paling ikonik dalam sejarah.
Selain itu, Curry turut meninggalkan kesan besar menerusi watak badut menyeramkan Pennywise dalam versi televisyen It pada 1990, selain muncul dalam filem Annie, Clue, The Hunt for Red October, Home Alone 2, Scary Movie 2 dan Muppet Treasure Island.
Di pentas Broadway pula, Curry menerima tiga pencalonan Anugerah Tony, termasuk menerusi watak Mozart dalam Amadeus, selain My Favorite Year dan watak King Arthur dalam muzikal Spamalot.
Selepas diserang strok pada 2012, Curry terpaksa menggunakan kerusi roda, namun keadaan tersebut tidak memadamkan semangat seninya.
Dia terus aktif dalam bidang alih suara, menghadiri acara peminat serta menghasilkan karya penulisan sehingga tahun-tahun terakhir hayatnya.
Curry turut mencuri perhatian generasi baharu menerusi permainan video Command & Conquer: Red Alert 3 pada 2008.
Wataknya sebagai Perdana Menteri Soviet, Anatoly Cherdenko melahirkan satu adegan ikonik apabila dialognya mengenai melarikan diri ke angkasa menjadi meme popular di internet.
Rata-rata rakan selebriti dan peminat turut bersedih selain menyifatkan mendiang sebagai artis serba boleh sepanjang lima dekad kerjayanya merentasi genre komedi, seram, drama dan muzik.
Tahun lalu, Curry menerbitkan memoir berjudul Vagabond, mengimbas perjalanan panjangnya sebagai seorang penghibur. – HIBGLAM
