‘Balik Malaysia kalau ada tawaran, nak fokus filem sahaja’

PERKONGSIAN disalah erti, pelakon Ben Amir bukan mahu bersara daripada dunia lakonan, sebaliknya hanya berehat seketika selepas mengambil keputusan berhijrah ke Pulau Siargao, Filipina.

Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 34, berkata, dia sedia pulang ke tanah air bagi memenuhi tawaran membabitkan filem.

“Saya belum mahu berhenti berlakon dan tiada perancangan untuk meninggalkan kerjaya ini.

Buat masa ini saya cuma nak berehat sekejap serta dalam fasa melakukan perkara lain.

“Malah kalau ada tawaran untuk filem, saya akan balik. Saya nak fokus untuk filem sahaja selepas ini,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Sebelum ini perkongsian pelakon filem Rebel itu mengenai kehidupan baharunya di pulau peranginan tersebut mengundang kejutan.

Menerusi video dalam saluran YouTube miliknya, Ben mengakui mempunyai pelbagai perancangan yang ingin direalisasikan di sana.

Selain merancang membina sebuah kediaman, dia turut berhasrat memulakan perniagaan berkaitan tempat percutian.

Rata-rata peminat menyangka Ben enggan lagi terbabit dalam arena lakonan kerana ingin fokus kehidupan baharu di negara orang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok