ISTERI kepada pelawak Along Cham iaitu Afreena mendedahkan, dia masih tetap menyayangi lelaki itu meskipun diuji dengan pelbagai tuduhan daripada insan dicintainya itu.
Ujar Afreena, dia masih menyayangi Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, namun tidak dapat menjelaskan beberapa isu termasuk seleweng dan curang kerana suaminya menolak bertemu dengannya.
Kami tidak berjumpa sejak di mahkamah syariah dan hanya sesekali membalas mesej. Hati saya remuk dan kecewa lebih-lebih lagi dia tuduh anak dalam kandungan bukan benihnya,” katanya eksklusif kepada HibGlam.
Dakwanya, dia tidak tahu dirinya hamil lapan minggu sehinggalah keguguran selepas berlaku pendarahan teruk mungkin disebabkan stres dan penat.
“Tergamak ada menuduh begitu sedangkan hal rumah tangga perlu diselesaikan berdua dengan berbincang,” katanya.
Menurut Afreena, Along mengetahui setiap langkahnya termasuk jadual tugasan yang memerlukannya ke luar negara setiap bulan sepanjang sembilan bulan hidup bersama.
Segala pergerakan termasuk makan tengah hari dan pergi balik kerja saya maklumkan kepadanya. Tidak tahu daripada mana datangnya isu curang,” katanya.
Tambahnya, sikap Along seakan berubah 180 darjah selain tidak mahu melihat hantaran mengenai apa yang diperkatakan oleh lelaki itu terhadapnya di media sosial.
Terdahulu, kemelut antara Along dan isterinya itu menjadi sorotan selepas selebriti berkenaan mempersoalkan wang sumbangan rakan selebriti serta orang ramai yang didakwa diseleweng isterinya sendiri.
Afreena kemudian membuat laporan sebelum polis memberkas sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes tipu.
Pada 28 Januari lalu pula, iaitu sehari selepas dilepaskan atas jaminan polis berikutan kes membabitkan ganja, Along bertindak memfailkan pengesahan lafaz taklik terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Pasangan itu berkahwin pada 4 April 2020 selepas beberapa bulan berkenalan. – HIBGLAM