AKHIRNYA penyanyi terkenal Beyonce berjaya memecahkan sumpahan ‘Grammy’ apabila berjaya memenangi trofi Album Of The Year menerusi album Cowboy Carter pada Anugerah Grammy Ke-67 yang berlangsung hari ini.
Beyonce sebelum ini pernah memecah rekod sebagai penerima trofi Grammy paling banyak dalam sejarah namun belum pernah memenangi anugerah Album Of The Year sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
Selain menerima anugerah utama itu, Beyonce terlebih dahulu mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi wanita kulit hitam pertama merangkul trofi Album Country Terbaik selepas 50 tahun.
“Telah bertahun-tahun saya tercalon dan menang dalam Anugerah Grammy. Saya rasa sangat berbesar hati dengan anugerah ini.
Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Grammys, setiap penulis lagu, pihak yang berkolaborasi dan penerbit di atas kerja keras mereka,” katanya sewaktu menerima anugerah Album Of The Year.
Tahun ini isteri kepada Jay-Z itu menerima 11 pencalonan untuk album Cowboy Carter menjadikan jumlah keseluruhan 99 pencalonan dan 35 kemenangan sepanjang dia terbabit dengan Anugerah Grammy.
Sementara itu penyanyi pop, Lady Gaga pula membawa pulang anugerah Persembahan Duo Terbaik bersama Bruno Mars menerusi lagu Die With A Smile.
Sabrina Carpenter pula mengukir kejayaan menerusi kemenangan dalam kategori Album Vokal Pop Terbaik dan Persembahan Pop Solo Terbaik menerusi lagu popular Espresso.
Penyanyi rap, Kendrick Lamar pula muncul sebagai pemenang terbanyak apabila mengungguli lima trofi bagi kategori Lagu Sepanjang Tahun, Rekod Sepanjang Tahun, Lagu Rap Terbaik, Persembahan Rap Terbaik dan Video Muzik Terbaik menerusi lagu Not Like US.
Penganjuran acara berprestij itu turut menyaksikan penyanyi Chappell Roan dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik. – HIBGLAM