‘Masih hadam semua ini’ – Marsha terima anugerah Wanita Kesenian

BAHANG kemenangan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) masih lagi terasa, terbaharu penyanyi Marsha Milan dianugerahkan sebagai Wanita Kesenian pada Anugerah Ibu Zain 2025.
Menurut Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 40, pengiktirafan demi pengiktirafan yang diterimanya dalam masa singkat ini bagaikan rezeki yang tidak terduga.
“Alhamdulillah saya bersyukur sangat-sangat dengan pengiktirafan ini. Kemenangan pada AJL39 Ahad lepas pun saya masih cuba hadam kerana masih rasa seperti tidak percaya.
“Kali ini diberi pula pengiktirafan menerima Anugerah Wanita Kesenian mewakili anak seni di Malaysia.
“Tiada apa yang boleh saya katakan selain memanjatkan rasa syukur kepada Allah di atas rezeki yang diberikan. Selepas 20 tahun berhempas pulas sebagai anak seni, akhirnya segala penat lelah saya dipandang dan diiktiraf,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun lagu Hening Rindu itu lagi, dia bangga apabila berada dalam kelompok wanita hebat di Malaysia yang turut menerima pengiktirafan dalam acara yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagagang Dunia, kelmarin.
Antara penerima lain ialah Noor Neelofa, (Anugerah Wanita Inspirasi),  Datuk Nicol Ann David ( Anugerah Voice of H.E.R) , Datuk Pandelela Rinong (Anugerah Wanita Kesukanan)  dan Cik B (Anugerah Wanita Muda).
Anugerah Ibu Zain 2025 memberi penghormatan kepada wanita luar biasa yang memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, kesihatan, perundangan, sukan, kesukarelawanan, kesenian dan lain-lain. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok