DITUDUH mengada-ngada kerana membiarkan Bella Astillah mengendongnya ketika menuruni Gunung Kinabalu, penyanyi Didi Astillah mendedahkan pendakian dilakukan sangat mencabar sehingga menjejaskan fizikal dan mentalnya.
Didi atau nama lengkapnya Dayang Nazillah Awang Astillah, 29, berkata, dirinya bukan individu aktif sekali gus kurang stamina ketika menyahut cabaran pendakian tersebut.
Yang kami daki itu Gunung Kinabalu, bukan bukit-bukit manja. Jadi, apa-apa kesakitan fizikal atau mental tak dijangka kadang-kadang boleh terjadi.
“Semua yang kenal saya dari zaman sekolah tahu saya bukan individu aktif bersukan. Ini bermaksud stamina saya tidak kuat.
Syukur bagi saya dapat daki Gunung Kinabalu yang merupakan pengalaman tidak akan dilupakan,” katanya dalam InstaStory.
Selain kurang aktif, pelantun lagu Fikirkan Kamu itu turut mengakui berasa gayat sehingga tidak mampu meneruskan perjalanan menuruni Gunung Kinabalu.
“Bila daki, lain rasa dia. Bila turun masya-Allah orang yang gayat atau takut dengan ketinggian mesti faham apa saya rasa.
Panik dan menangis tetapi syukur ada kakak di situ. Bukan tiada malim gunung cuma bila kakak sendiri tenangkan dan pujuk, panik mula reda.
“Nak menggedik atas itu memang minta maaf cakap tak sempat. Banyak fikir tentang batu-batu, tangga dan bukit curam di situ yang buat saya gayat,” ujarnya.
Didi turut menyarankan individu yang mendakwanya gedik sehingga perlu digendong agar memanjat atau menuruni gunung itu tanpa latihan.
“Saya cadangkan awak ke Gunung Kinabalu tanpa sebarang latihan sebelum mendaki.
Mungkin awak tak pernah mendapat erti kasih sayang secukupnya dari seorang kakak.
“Tidak mengapa, saya maafkan awak yang komen ini cuma kebetulan saya tengah rajin nak menghuraikan,” jelasnya.
Kenyataan tersebut tercetus selepas seorang individu menuduh Didi terlalu gedik kerana membiarkan kakaknya mengendong ketika menuruni Gunung Kinabalu, baru-baru ini.
Gedik, patah riuk tulang kakak awak. Dia dah lah halus dan kecil, kasihan Bella,” ujar individu terbabit.
Sebelum ini, Bella, 36, berkongsi dia berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu bersama Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan berpakaian tradisional Melayu. – HIBGLAM