Aliff Aziz, Ruhainies mengaku salah, bayar denda RM3,000

PELAKON Aliff Aziz dan Ruhainies didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Februari lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat.

Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, dua selebriti itu menukar pengakuan kepada bersalah.

Pada 3 Julai tahun lalu, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33, dan Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

“Pada tarikh sebutan lepas iaitu pada 17 Oktober tahun lalu, ditetapkan tarikh 20 dan 27 Februari lalu untuk sambung bicara selepas kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Bagaimanapun, peguam syarie tertuduh melalui surat bertarikh 18 Februari lalu memaklumkan kedua-dua anak guam berhasrat untuk menukar pengakuan dan memohon kepada pihak Mahkamah untuk pindaan tarikh pada 21 Februari.

“Selepas pertuduhan dibacakan semula dan kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah.

Atas pengakuan bersalah itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah mensabitkan kesalahan ke atas kedua-keduanya dan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda,” katanya.

Menurut sumber, Aliff dan Ruhainies kemudian membayar sejumlah denda yang disebutkan.

Terdahulu, Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta559], atas kesalahan berkhalwat.

20 Jun tahun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat mereka yang berlaku di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Media sebelum ini melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah.

Sumber dilapor berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) adalah berdasarkan maklumat awam.

Mereka dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita terbabit.

Aliff dan Ruhainies masing-masing tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram berhubung kontroversi tercetus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok