SEBUTLAH apa sahaja kontroversi, semuanya pernah terpalit ke muka aktor kelahiran Singapura, Aliff Aziz.
Pernah berada di titik terendah, penyanyi berusia 35 tahun itu enggan membiarkan dirinya hanyut dalam kontroversi sebaliknya memilih untuk bangkit merancakkan kembali kerjaya seni.
Terbaharu, dia melakar sejarah dalam kamus kerjayanya apabila terpilih sebagai pemegang peranan Sultan Mansur Shah dalam pementasan teater muzikal Mansur & Liu arahan maestro musik terkenal, Datuk M. Nasir.
Menurut pemilik nama penuh Mohammad Aliff Aziz itu, Mansur & Liu merupakan pentas teater pertama sejak bergelar anak seni.
“Sewaktu kali pertama ditawarkan uji bakat, ada rasa ragu-ragu dengan kemampuan sendiri sebab persembahan teater adalah benda besar dan sangat mencabar.
“Tapi selepas berbincang dengan adik saya, Aisyah yang pernah berlakon teater di Singapura dan mendapat restu ummi, ayah, saya tekadkan hati ke uji bakat tanpa meletakkan sebarang harapan tinggi.
Apabila dapat tawaran pegang watak Mansur, ibarat penghormatan dan penghargaan besar untuk diri sendiri tambahan pula bekerja bawah Datuk M. Nasir dan Datin Marlia Musa, pengalaman hebat untuk saya,” katanya kepada HibGlam.
Katanya, berlakon di pentas teater sangat berbeza dengan yang sering dilakukan untuk naskhah televisyen.
Meski pengalaman sulung, dia bersyukur barisan pelakon lain yang terlibat banyak memberi ilmu dan membantunya untuk menghidupkan watak Mansur.
“Sepanjang tempoh latihan, semua pelakon saling membantu dan mereka tidak lokek ilmu.
Ini pengalaman yang sangat berbeza daripada cara bekerja untuk televisyen yang ada kamera dan setiap babak mempunyai shot tertentu. Namun teater pula, setiap masa perlu berada dalam karakter.
“Teater memerlukan tenaga yang banyak kerana selain berlakon, ada nyanyian, pergerakan, tarian, seni silat dan sebagainya. Pengalaman ini akan menjadi salah satu kemuncak dalam karier saya sebagai pelakon serta penyanyi,” katanya.
Dia juga melihat M. Nasir tidak ubah seperti seorang bapa sepanjang tempoh latihan yang sentiasa memberinya semangat bagi menjayakan teater tersebut.
“Datuk pernah berpesan kepada saya, ‘tidak mengapa Aliff, cuba sahaja. benda ini senang sahaja, bayangkan kau jadi raja.’
Pesanan tersebut membuatkan saya lebih berani untuk menyahut cabaran ini. Insya-Allah akan berikan 150 peratus fokus demi Mansur & Liu,” ujarnya yang akan menyampaikan sebanyak lapan lagu pada pementasan tersebut.
Tambahnya, M. Nasir juga sering mengingatkan para pelakon agar terus menghafal setiap bait dialog bagi memastikan setiap emosi dan ekspresi disampaikan dengan baik.
M. Nasir juga selalu pesan kepada semua pelakon hafal, hafal dan hafal bagi memudahkan kami ‘explore’ watak dengan baik.
“Kalau tak hafal, sukar untuk terjemahkan kepada ekspresi,” jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.
Bukan sahaja Aliff, Mansur & Liu yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 September 2026 turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Melinda Dadew sebagai Puteri Liu, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Kemunculan semula
Kembali aktif dengan pelbagai tawaran ketika ini membuatkan ramai beranggapan dia kini berada dalam fasa kemunculan semula, namun bagi Aliff dia hanya mahu menjalani kehidupan tanpa memikirkan masa lalu.
“Erti ‘comeback’ (kemunculan semula) ketika ini adalah saya lebih melihat secara dalaman berbanding memikirkan hal-hal yang berlaku di sekeliling.
Banyak perkara yang saya mahu perbaiki, jujur dengan diri sendiri dan memaafkan kelakuan masa silam. Hanya dengan cara itu saya boleh melangkah ke hadapan.
“Umur pun sudah 35 tahun, saya mahu menghabiskan sisa hidup dalam industri atau dengan perkara positif saja. Bila fokus hidup dikecilkan, saya tak ada masa nak fikir apa orang cakap,” katanya yang bakal muncul dalam sebuah sinetron Indonesia tidak lama lagi.
Dilihat semakin tenang menjalani kehidupan, bekas juara Gegar Vaganza musim kelapan itu berlapang dada menerima setiap kecaman dan kritikan khalayak yang tidak henti-henti dilemparkan kepadanya.
Baginya, setiap individu bebas berkata apa sahaja perkara mengenainya namun ketika ini, fokusnya hanya kehidupan sendiri.
“Saya terima setiap pendapat orang dengan hati terbuka. Hal baik saya ambil, yang negatif saya biarkan kerana setiap orang berhak atas pendapat mereka.
Nama pun pendapat, betul atau tidak bukan untuk saya nilai. Di luar bidang kuasa saya untuk mengubah persepsi orang.
“Kebelakangan ini saya cuba hidup secara optimistik, kekal sihat, kerap ke gimnasium dan jaga pemakanan.
“Semua itu beri saya ketenangan dan sentiasa percaya dengan konsep rezeki, insya-Allah akan sentiasa ada,” akhirinya. – HIBGLAM
caption
ALIFF Aziz bersama Melinda sama-sama pertama kali menjejakkan kaki ke pentas teater menerusi muzikal Mansur & Liu yang mengisi kalendar Istana Budaya pada 10 hingga 20 September ini. – IQBAL ROSLI
SEDAR dilihat sebagai pesalah lalu, Aliff cuma mahu meneruskan hidup dengan perkara positif.
