‘Trauma diraba, mereka sentuh macam ‘touch and go’.

PERNAH berdepan gangguan seksual, penyanyi Shila Amzah mengakui trauma diraba individu tidak dikenali ketika zaman remaja.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, berkata, pada waktu itu dia dalam perjalanan ke sekolah dan didekati penunggang motosikal yang terus melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya.

“Rasanya kejadian itu ketika saya berusia dalam lingkungan 15 atau 16 tahun. Saya tak pernah naik bas ke sekolah, sebaliknya hanya berjalan kaki.

“Saya pula jenis tak suka datang lambat, jadi saya keluar rumah awal dan selalunya sampai sekolah sebelum pukul 7 pagi.

“Waktu saya berjalan, tiba-tiba ada dua lelaki menaiki motosikal yang melepasi saya dan kemudian mereka patah balik. Saya kena raba,” katanya berkongsi pengalaman di audio siar Ubai Sentral.

Penyanyi Patah Seribu itu juga mengakui tergamam sehingga tidak mampu menjerit atau melakukan tindak balas, sebaliknya hanya meneruskan perjalanan ke sekolah.

Susulan pengalaman dilalui, dia menegaskan memahami emosi mangsa yang pernah berhadapan gangguan seperti itu.

“Mereka sentuh macam ‘touch and go’, (tetapi) lelaki yang pegang saya seorang sahaja.

“Jadi saya fahamlah keadaan apabila wanita berdepan gangguan seksual, kalau kita tidak berada dalam situasi tersebut memang senang untuk kita suruh jerit, minta tolong dan sebagainya.

“Tetapi apabila jadi pada diri sendiri, baru saya tahu erti menjerit tetapi suara memang tak boleh keluar. Sebaik sampai di sekolah saya semakin trauma dan terus terdiam,” ujarnya.

Program bual bicara di bawah kendalian pempengaruh, Ubai juga suami kepada Shila itu merupakan episod pertama podcast Ubai Sentral.

Selain mendedahkan insiden menakutkan itu, penyanyi terbabit turut menceritakan pengalamannya sepanjang bekerja di China. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok