‘Tak bertanggunjawab, sebab awak saya kena berdiri 30 minit’

GARA-GARA sikap tidak bertanggungjawab penonton lain, penyanyi Misha Omar terpaksa berdiri di konsert Aura Ernie Zakri apabila tempat duduknya diambil seseorang, malam tadi.

Misha atau nama lengkapnya Samihah @ Aishah Omar, 43, berkata, momen yang sepatutnya dinikmati dengan tenang terganggu hampir setengah jam disebabkan sikap mementingkan diri individu terbabit.

“Semua beli tiket masing-masing, duduklah di tempat awak.

Saya kena berdiri hampir lima lagu disebabkan awak duduk di tempat saya.

“Pihak penganjur pula kena dapatkan pengesahan itu adalah tempat duduk saya. Jadilah manusia bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Lebih kesal, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu memaklumkan individu terbabit hanya berlalu pergi selepas diminta kosongkan tempat duduk tanpa sebarang permohonan maaf.

“Awak telah cipta masalah yang tak perlu di tempat konsert.

Duduk di situ macam tiada dosa dan berlalu tanpa minta maaf,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Misha memuji pengurusan konsert kerana berjaya menyelesaikan masalah itu dalam masa singkat.

“Kakak saya di sebelah sudah risau, sebab takut kena scam.

Pujian harus diberikan kepada adik ‘usher’ kerana dapat menyelesaikan masalah dengan cepat. Tidaklah saya berdiri lama macam tiang lampu,” tuturnya.

Semalam, Ernie menjayakan konsert sulungnya, Aura: Ernie Zakri Live In Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvenseyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selain Misha, terlihat juga kelibat Aina Abdul yang hadir bagi menyokong Ernie melangsungkan acara berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok