Scha Alyahya mahu ‘luruskan diri’ kepada Allah

INGIN berubah, pelakon Scha Alyahya mengakui pemergian ibu tercinta, Allahyarham Junainah Hasim menjadi titik tolak untuknya lebih mendekatkan diri dengan Allah.

Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir, 42, berkata, ini kerana dia bimbang andai amalan yang dilakukan enggan diterima Tuhan, sekali gus tidak menjadi bekalan bagi ketenangan roh arwah ibunya di alam barzakh.

“Saya takut benda yang kita buat akan mengehadkan pahala. Semua itu nanti ibu saya akan tanggung.

“Saya dan Tuhan ‘berborak’ setiap hari. Minta apa sahaja kepada-Nya supaya segala urusan saya dipermudahkan.

“Bukan apa, saya risau kalau saya buat benda tak elok akan sampai (kepada ibu). Jadi saya kena luruskan diri dahulu,” katanya kepada HibGlam semasa pelancaran koleksi raya Shawl Publika X Seth Luna Slay-Sa Raya.

Dalam masa sama, pelakon drama Awan Dania itu juga mengakui sudah lama memasang niat untuk memakai hijab selain berharapkan doa peminat.

“Rasa niat untuk berubah selepas balik umrah, saya fikir usia pun nak masuk 40 tahun. Selalu berborak dengan diri sendiri dalam bilik seorang diri.

“Niat sudah sebelum arwah meninggal dunia lagi.

“Dah lama pasang niat (pakai tudung) doakan untuk saya dan banyak benda lain syaa praktis untuk dekatkan diri dengan Allah. Kalau nak cerita, sedih sangat,” ujarnya lagi.

Selain itu, pelakon dan model itu sudah lama memberi bayangan untuk berubah kepada suami dan sering menyertai kelas agama tetapi tidak diuarkan kepada umum.

“Selalu bagi bayangan pada Awal dan nampaknya dia juga perasan mengenai perkara tersebut.

“Saya selalu pergi kelas agama bersama kawan-kawan tetapi memilih untuk tidak berkongsi,” ujarnya.

Sebelum ini, timbul desas-desus Scha ingin berhijab seterusnya berubah ke arah kebaikan.

Scha juga dilihat sering berkongsi petikan kata-kata berunsur keagamaan dalam media sosialnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok