‘Umar hanya ingat Allah, maut ketika di bawah lori’

MELALUI detik menakutkan terlibat dalam kemalangan, anak angkat kepada pereka fesyen tersohor Datuk Rizalman Ibrahim, Umar Nail hanya mengingati Allah serta kematian.

Perkara tersebut dikongsikan Rizalman apabila sempat berbisik di telinga Umar dan bertanyakan perkara yang bermain dalam fikirann anaknya itu ketika berada di bawah lori ais yang melanggarnya.

“Aku sempat berbisik tanya di telinga Umar, ‘Masa Umar di bawah lori dan dalam keadaan sakit itu, apa yang Umar ingat? Babah? Aali? Kontot? Ibu? Hendak kereta baharu? Hendak berkahwin? Hendak rezeki banyak?’

“Semua jawapan itu digelengkan kepalanya.

“Umar hanya ingat Allah dan maut ketika itu,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Story.

Akuinya, lebih syahdu apabila air mata anaknya yang berusia 27 tahun itu menitis di hujung kelopak mata ketika mengingati detik tersebut.

Bagi Rizalman, insiden membabitkan Umar menjadi satu peringatan tentang kuasa Allah, malah dia mengakui tidak mampu mengajar atau menetapkan sesuatu yang begitu besar dalam jiwa anak-anak tanpa kehendak-Nya.

“Babah tidak mampu memberikan pengalaman sebegini untuk menetapkan tauhid kepada anak-anak Babah, melainkan Dia sendiri,” luahnya.

Pada masa sama, personaliti popular juga usahawan itu memaklumkan belum dapat menyatakan Umar semakin pulih, namun doktor memberitahu putera kesayangannya itu dalam keadaan stabil.

Rizalman turut memohon maaf kerana belum dapat berkongsi lokasi wad anaknya berikutan waktu terhad selain ramai pelawat.

“Pelawat terdekat pun sudah terlalu ramai ketika ini hingga aku sendiri tidak berkesempatan meluangkan masa yang lama bersamanya pada setiap sesi bagi memberi laluan kepada mereka.

“Insya-Allah, apabila dia sudah dipindahkan ke hospital swasta dengan izin pakar, aku akan maklumkan,” katanya.

Rizalman juga tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus menitipkan doa serta kasih sayang buat Umar serta keluarga mereka sepanjang melalui ujian tersebut.

“Aku yakin doa kalian tiba ke langit sebelum jasad kalian menziarahi di bumi,” ujarnya.

Kelmarin, Rizalman, 54, berkongsi berita mengejutkan mengenai Umar dilanggar sebuah lori ais yang mengundur ketika berjalan di laluan pejalan kaki di kawasan Wangsa Walk.

Umar dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas tercampak ke bawah lori sebelum digilis selama beberapa saat, sekali gus menyebabkan komplikasi pada organ dalaman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok