PEMERGIAN bapa tersayang, Allahyarham Basir Ahmad pada 27 November lalu meninggalkan impak besar dalam hidup pelakon Sharnaaz Ahmad.
Paling dirindui Sharnaaz, 40, ialah panggilan telefon daripada bapanya yang sebelum ini kerap diterima setiap kali menjalani penggambaran.
“Apa khabar papa? Saya sudah lakukan terbaik untuk nampak okey secara luaran. Kehidupan harian saya masih penuh dengan kerinduan.
Walaupun secara luaran saya kelihatan okey, dalam hati ini tetap kosong tanpa kehadiran papa.
“Papa selalu tanya, penggambaran macam mana? Dah nak habis ke, saya akan jawab hampir siap dan ya, filem ni memang hebat. Papa selalu akan pesan supaya saya jaga diri dan suruh bekerja sebab sahaja ‘call’ saya,” katanya dalam Instagram.
Tambah Sharnaaz, dia bekerja keras sejak 40 hari lalu adalah untuk membantu menghilangkan kerinduan terhadap arwah bapanya yang menebal dalam jiwa.
Dia juga mengakui beruntung bergelar anak kepada bapanya yang sangat dihormatinya sejak 40 tahun lalu.
“Sudah 40 hari papa tinggalkan kami. Saya sangat rindukan papa. Sebagai seorang lelaki, saya tidak mengucapkannya tetapi mempamerkan kasih sayang itu.
Saya minta maaf kalau pernah menyakiti hati atau tidak buat papa bangga. Ya, saya lelaki nakal tetapi harap bukan anak yang teruk untuk papa.
“Terima kasih untuk peluang menjadi anak papa selama 40 tahun. Kalau boleh putarkan semula masa, boleh tak kita main wau sekali lagi di depan rumah macam dulu-dulu? Sekali pun jadilah,” ujarnya.
Terdahulu, pada 27 November lalu, Sharnaaz berkongsi khabar duka pemergian bapa tercinta yang meninggal dunia pada pukul 1.40 pagi.
Sharnaaz bagaimanapun tidak berkongsi lebih lanjut mengenai punca kematian bapanya namun, sebelum ini pernah berkongsi Allahyarham mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). – HIBGLAM