MENITI hari bahagia, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq memilih untuk menghantar sendiri kad jemputan perkahwinannya dengan pelakon, Bella Astillah kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tur Dr. Siti Hasmah.
Syed Saddiq, 33, berkata, dua figura tersebut merupakan antara tetamu paling penting yang perlu hadir pada hari perkahwinannya pada 10 Oktober depan.
“Hantar sendiri kad kahwin kepada Tun M dan Tun Hasmah.
“Tetamu istimewa paling senior dalam senarai tetapi masih pasangan paling muda di hati!” katanya dalam satu hantaran Threads.
Tambahnya, dia juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tip dan nasihat sebelum bergelar suami daripada pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama tujuh dekad itu.
“Nak masuk alam perkahwinan, mestilah kena minta petua daripada pasangan paling berpengalaman di Malaysia,” katanya lagi.
Menerusi hantaran sama, dia juga berkongsi foto dan video bersama Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah yang turut meraih pelbagai respons positif serta doa daripada netizen.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan tarikh pernikahannya dengan Bella, 31, sudah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun mereka belum bersedia berkongsi perincian tersebut.
Namun pada 18 Ogos lalu kedua-duanya mengumumkan tarikh pernikahan mereka adalah pada 10 Oktober 2026 di aras 118, Menara Merdeka Maybank.
Syed Saddiq dan Bella dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE
